TeamStar fail permohonan IPO Pasaran ACE bagi mengembangkan rangkaian runcit, gudang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TeamStar fail permohonan IPO Pasaran ACE bagi mengembangkan rangkaian runcit, gudang

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Julai – TeamStar Bhd memfailkan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai pengembangan rangkaian runcit dan gudang. 

 

Syarikat yang berpangkalan di Puchong itu merancang membuka 10 cawangan baharu di seluruh negara, khususnya di Johor, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, sekali gus menandakan kemasukan sulung ke pasaran Malaysia Timur.

 

Ketika ini, TeamStar mengendalikan 28 cawangan yang menjual kelengkapan perabot termasuk pengatur suai rumah, aksesori pintu, alatan kuasa dan cat.

 

Syarikat itu ditubuhkan pada 1996 oleh Tan Lee Kueng, yang kini merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif. 

 

Anak beliau, Tan Jian Wei pula memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), TeamStar mencatat keuntungan bersih sebanyak RM16.85 juta dengan hasil berjumlah RM130.22 juta. 

 

Sebahagian hasil IPO akan digunakan untuk membeli gudang baharu dan mengubah suai satu gudang sedia ada susulan dua daripada enam gudang syarikat kini beroperasi melebihi 80% kapasiti. 

 

Baki dana akan digunakan bagi modal kerja, bayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Cadangan IPO melibatkan terbitan awam 132 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 72 juta saham sedia ada.

 

Sebanyak 40 juta saham baharu akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dengan 50% dikhaskan kepada pelabur Bumiputera, manakala 92 juta saham lagi akan diagihkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan persendirian.

 

Seramai 15 pemegang saham, termasuk isteri Jian Wei, Yeoh Baby, akan menjual pegangan sedia ada berjumlah gabungan 9% dalam syarikat.

 

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian itu.- DagangNews.com