Tawaran baharu pelan 5G CelcomDigi selari kehendak pasaran, prospek FY26 kekal kompetitif – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran baharu pelan 5G CelcomDigi selari kehendak pasaran, prospek FY26 kekal kompetitif – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac – CelcomDigi Berhad (CDB) dijangka berada pada kedudukan yang lebih kukuh selepas tiga tahun pelaksanaan aktiviti sinergi susulan penggabungan Celcom dan Digi, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.54 dan menegaskan kumpulan itu kini lebih selari dengan kehendak pasaran.

 

“Tawaran mudah alih baharu yang diperkenalkan pada awal 2026 menunjukkan syarikat semakin fokus untuk meningkatkan pendapatan per pengguna (ARPU) bagi kedua-dua segmen prabayar dan pascabayar.

 

“Peningkatan ini dijangka menyokong pertumbuhan hasil dan mengekalkan daya saing syarikat dalam pasaran telekomunikasi tempatan.

 

“Bagi segmen prabayar, harga kemasukan pelan 5G baharu meningkat kepada RM30 sebulan berbanding RM25 sebelum ini. Langkah ini sejajar dengan tawaran pesaing terdekat dan dijangka membantu menstabilkan hasil prabayar yang mencatat penurunan sebanyak 4.6 peratus pada 2025,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Sementara itu, segmen pascabayar tidak banyak berubah selain daripada peningkatan had kelajuan 5G dan beberapa pakej tambahan. Pertumbuhan hasil pascabayar pada 2025 merekodkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus. Sambutan awal daripada pelanggan baharu dan sedia ada dilaporkan positif.

 

MBSB Research menjangka ARPU lebih kukuh disokong oleh cadangan nilai yang lebih baik, segmentasi pelanggan yang diperbaiki, serta fokus kepada pelanggan bernilai tinggi. 

 

“Peningkatan ini dilihat mampu mengekalkan prestasi kewangan syarikat dalam jangka sederhana. Pengurusan CelcomDigi juga tidak menjangkakan impak material daripada peraturan SIM prabayar baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada Februari 2026.

 

“Peraturan ini menetapkan had dua kad SIM dengan tempoh sah tiga bulan bagi pelancong, yang dianggap mencukupi untuk penggunaan semasa,” katanya.

 

t

 

Pada Oktober 2025, CDB melancarkan aplikasi CelcomDigi baharu yang menggabungkan perkhidmatan Celcom dan Digi dalam satu platform. Aplikasi ini menyediakan kemudahan pengurusan prabayar, pascabayar, fiber dan talian tambahan, selain ciri tambah nilai automatik, integrasi hiburan, dan sokongan AI 24/7.

 

Aplikasi baharu ini juga membolehkan syarikat memperkenalkan perkhidmatan rakan kongsi dan gaya hidup dalam satu ekosistem digital, sekali gus meningkatkan kawalan pengurusan terhadap pelancaran produk dan perkhidmatan baharu.

 

Setakat awal Mac 2026, aplikasi ini mempunyai sekitar lapan juta pengguna.

 

Sejak awal penggabungan, banyak sinergi diperoleh daripada penjimatan perbelanjaan modal. Bermula 2026, fokus syarikat beralih kepada penjimatan dalam perbelanjaan operasi. Penjimatan kos operasi dijangka meningkat daripada RM300 juta pada 2025 kepada RM700–800 juta menjelang 2028.

 

Pengurusan menjelaskan bahawa inisiatif penjimatan kos termasuk penutupan tapak kurang digunakan dan pelarasan had kelajuan bagi pengurusan trafik, yang akan dilaksanakan pada suku pertama dan kedua 2026. Pengalaman pelanggan akan dipantau secara masa nyata sepanjang pelaksanaan inisiatif ini.

 

Daripada segi kewangan, MBSB Research berkata CelcomDigi dijangka mencatat hasil sebanyak RM13.48 bilion pada 2026, meningkat kepada RM14.46 bilion menjelang 2028. PATAMI teras pula dijangka meningkat daripada RM1.75 bilion kepada RM2.17 bilion dalam tempoh sama,” katanya.

 

Pemegang saham utama CDB terdiri daripada Axiata Group Bhd (33.10 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (10.74 peratus) dan Amanah Saham Nasional Bhd (6.59 peratus). Jumlah saham yang diterbitkan ialah 11,731.51 juta dengan pegangan bebas 25.76 peratus.

 

Namun begitu, risiko utama yang perlu diperhatikan ialah pemindahan pegangan ekuiti DNB yang mungkin memberi tekanan kepada saham sekiranya berlaku perubahan struktur. Walaupun begitu, dengan aplikasi baharu, penjimatan kos dan penawaran pelan yang lebih menarik, prospek CelcomDigi dilihat masih positif.- DagangNews.com