Tasco dijangka pulih berperingkat, MBSB Research kekal saranan Beli namun turunkan TP kepada RM0.56 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tasco dijangka pulih berperingkat, MBSB Research kekal saranan Beli namun turunkan TP kepada RM0.56

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – MBSB Research menjangka prestasi Tasco Berhad akan pulih secara berperingkat selepas keputusan suku ketiga FY26, disokong oleh pemulihan jumlah penghantaran melalui skim Strategic Forward Pricing (SFP) dan penggunaan gudang baharu yang semakin tinggi. 

 

Firma penyelidikan itu berkata selain itu, penyusunan semula operasi rangkaian penghantaran sejuk juga dijangka meningkatkan kecekapan operasi syarikat tersebut. 

 

“Kami masih mengekalkan saranan Beli namun menurunkan sasaran harga saham Tasco daripada RM0.64 kepada RM0.56, susulan hasil suku ketiga FY26 yang sedikit di bawah jangkaan dan penggunaan fasiliti rantaian sejuk yang lebih rendah daripada dijangka,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma itu berkata separuh daripada ruang gudang baharu, termasuk 400,000 kaki persegi di Shah Alam dan 300,000 kaki persegi di Northport telah ditempah oleh pelanggan sedia ada. 

 

Sebahagian ruang gudang di Shah Alam juga berpotensi diubah suai untuk rantaian bekalan sejuk dengan kedua-dua gudang dijangka beroperasi pada Ogos 2026.

 

Segmen logistik sejuk Tasco sedang disusun semula selepas kehilangan pelanggan utama. Satu gudang akan ditutup sementara dan barang dipindahkan ke gudang lain bagi menjimatkan kos dan menggunakan kapasiti dengan lebih efisien. 

 

Pelanggan juga lebih suka jika gudang biasa dan logistik sejuk digabung di satu lokasi, menjadikan operasi lebih mudah dan cekap.

 

Walaupun hasil suku ketiga FY26 berada di bawah jangkaan, MBSB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan pendapatan dengan penyesuaian kecil pada EPS bagi FY26 hingga FY28 untuk mengambil kira aktiviti gudang yang lebih lemah dan penggunaan kapasiti rantaian sejuk yang rendah. - DagangNews.com