Tasco berdepan tekanan operasi logistik namun MBSB Research kekal saran 'beli' saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tasco berdepan tekanan operasi logistik namun MBSB Research kekal saran 'beli' saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Ogos — Gangguan rantaian bekalan global, dan kekurangan kapal akibat konflik di Timur Tengah terus menjadi cabaran logistik utama kepada Tasco Berhad, menurut analisis MBSB Research.

 

Firma itu menambah, situasi tersebut menyebabkan keuntungan teras syarikat susut ketara pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), dengan hasil bagi tempoh berakhir 31 Mac 2027 merosot 21.7%.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan 'beli' kerana menjangkakan momentum pendapatan beransur pulih dalam beberapa suku akan datang sejajar pemulihan keadaan operasi segmen perniagaan utamanya.

 

"Susulan semakan semula unjuran keuntungan dan pertukaran tahun asas penilaian, kami menurunkan harga sasaran (TP) saham Tasco kepada 49 sen berbanding 56 sen sebelum ini," jelas MBSB Research.

 

Menurutnya, ketegangan geopolitik mengganggu laluan perkapalan mendorong lebih banyak pelanggan beralih daripada pengangkutan laut kepada pengangkutan udara bagi penghantaran kargo kritikal.

 

Situasi itu menyebabkan kadar tambang laut dari Malaysia naik mendadak sepanjang Jun dan Julai selepas syarikat perkapalan mengalihkan kapasiti ke pasaran menawarkan pulangan yang lebih tinggi.

 

Tasco_DagangNews2026

 

MBSB Research menambah, perkembangan tersebut sekali gus mewujudkan ketidaktentuan terhadap musim puncak perkhidmatan penghantaran Tasco sendiri pada tempoh suku keempat tahun kalendar 2026.

 

"Kumpulan ini bakal memperkukuh kapasiti logistik menerusi pembukaan gudang baharu di Shah Alam dan Pelabuhan Klang yang menawarkan kapasiti gabungan kira-kira 700,000 kaki persegi," katanya.

 

Kira-kira separuh daripada ruang tersebut dikenal pasti untuk kegunaan penyewa atau penyatuan operasi dalaman, manakala kemudahan sedia ada terus mencatat kadar penggunaan tinggi sekitar 90%.

 

Bagi segmen rantaian bekalan sejuk pula, keuntungan dijangka kekal sederhana selepas kehilangan pelanggan utama industri ais krim, sekali gus memaksa Tasco membina semula jumlah penghantaran.

 

Sebagai langkah penjimatan kos, syarikat menutup sementara kemudahan rantaian sejuk di Westports yang dijangka menjimatkan RM300,000 sebulan, manakala kadar penggunaan purata kekal sekitar 80%.

 

MBSB Research turut menurunkan unjuran keuntungan FY27 hingga FY28 antara 7.1% dan 9.3% berikutan prestasi lebih lemah dalam segmen penghantaran laut, rantaian sejuk dan pengangkutan trak.

 

"Bagaimanapun kami percaya insentif Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang akan diiktiraf pada suku keempat mampu mengekalkan kadar cukai efektif kumpulan di bawah paras 20%," katanya. - DagangNews.com