KUALA LUMPUR 6 Nov – Pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan langsung terhadap perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS, sekiranya tidak ditangani secara berhemah, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga September 2025, nilai perdagangan Malaysia dengan AS telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 15.4% kepada RM270.88 bilion, berbanding RM234.68 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
“Berdasarkan jumlah dagangan yang besar ini, sebarang perubahan dalam dasar perdagangan AS, khususnya pengenaan tarif timbal balas terhadap Malaysia, akan mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi dan kepentingan negara sekiranya Kerajaan tidak menangani isu ini secara berhemah,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya mengenai kesan tarif baharu AS terhadap perdagangan dua hala Malaysia-AS serta jumlah syarikat yang terlibat dalam aktiviti eksport dan import sehingga suku ketiga tahun ini.
Tengku Zafrul berkata, pengenaan tarif timbal balas setinggi 25% pada 7 Julai 2025 boleh menjejaskan permintaan terhadap produk Malaysia di pasaran AS kerana ia akan menjadikan harga barangan Malaysia kurang kompetitif, selain kemungkinan besar pengimport AS akan memindahkan beban tarif tersebut kepada pengeksport Malaysia.
Antara kesan utama yang dikenal pasti, katanya, ialah kemungkinan pengurangan tempahan produk Malaysia, tekanan ke atas pengeluar tempatan untuk menurunkan harga, dan kesan negatif terhadap keuntungan serta kelangsungan syarikat.
“Ekonomi negara turut berisiko terjejas apabila syarikat-syarikat tempatan dan asing yang beroperasi di Malaysia mengambil langkah pengurangan kos operasi, termasuk pengurangan tenaga kerja atau menangguhkan peluasan pelaburan,” ujarnya.
Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara kepada 4.0% hingga 4.8% bagi tahun 2025, berbanding unjuran awal antara 4.5% hingga 5.5%, susulan pengumuman tarif timbal balas oleh AS.
Tengku Zafrul turut menambah, Malaysia juga akan berdepan lambakan produk asing di pasaran domestik, khususnya dari negara-negara yang terkesan akibat tarif AS, sekali gus meningkatkan persaingan terhadap produk tempatan.
“Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengambil pendekatan rundingan berasaskan diplomasi perdagangan bagi memastikan kepentingan nasional dilindungi tanpa menjejaskan hubungan strategik dengan AS,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan ‘whole-of-government’ itu telah membuahkan hasil apabila rundingan dimuktamadkan dan ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS pada 26 Oktober 2025, dengan kadar tarif dikekalkan pada 19% seperti yang dikenakan sejak 1 Ogos 2025.
Tengku Zafrul menjelaskan, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 7,700 syarikat Malaysia terlibat dalam aktiviti eksport ke AS pada tahun 2024, melibatkan 1.1 juta pekerja, dengan barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebagai penyumbang utama.
“Sekiranya Malaysia memilih untuk tidak berunding atau mengambil tindakan balas tarif terhadap AS, ia boleh memberi impak negatif kepada pasaran eksport bernilai RM198.65 bilion dan menjejaskan jutaan pekerja tempatan,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Madani akan terus memperkasa daya saing eksport negara melalui pengukuhan ekosistem perdagangan di bawah Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
“Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), eksport negara diunjurkan melebihi RM2 trilion menjelang tahun 2030, dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 5.8%,” katanya. - DagangNews.com








