Tanjung Bin Power ditekan krisis turbin rosak, namun projek gas baharu buka jalan pemulihan Malakoff – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanjung Bin Power ditekan krisis turbin rosak, namun projek gas baharu buka jalan pemulihan Malakoff – RHB Research

Gambar ihsan Zelan berhad
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Mei - Malakoff Corporation Berhad berdepan tekanan pada prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026) susulan gangguan operasi dalam rantaian bekalan arang batu serta kerosakan teknikal pada unit turbin utama, menurut RHB Research.

 

Operasi di Tanjung Bin turut terjejas awal suku tahun lepas berikutan kerja-kerja pembersihan jeti, sebelum bekalan arang batu kembali beroperasi pada 8 Mac.

 

Walaupun operasi kini semakin stabil, Malakoff masih dalam proses membina semula stok arang batu bagi memenuhi keperluan bahan api sebanyak 822,000 tan untuk loji Tanjung Bin Energy (TBE) dan Tanjung Bin Power (TBP).

 

Namun begitu, impak gangguan tersebut telah dikurangkan melalui tindakan pengurusan yang mengaktifkan pelbagai alternatif logistik, termasuk penghantaran menggunakan trak bagi memastikan bekalan arang batu terus disalurkan ke kedua-dua loji.

 

Turbin rosak jejaskan pemulihan

Dalam masa yang sama, fasa pemulihan turut dibayangi oleh kerosakan teknikal tidak dijangka di TBP dan kini rotor turbin stim yang rosak telah dihantar ke Jerman untuk dibaik pulih. Unit tersebut dijangka hanya diterima semula pada 2QFY2026, sekali gus memanjangkan tempoh gangguan operasi.

 

RHB Research memaklumkan pihaknya telah mengambil kira pengurangan pembayaran kapasiti bagi tempoh tiga bulan susulan kadar unplanned outage yang melebihi 6%, dengan pelarasan semula tarif hanya dijangka berlaku pada 2027.

 

Malakoff turut berdepan tekanan pendapatan jangka pendek apabila RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY2026 sebanyak 3% bagi mencerminkan sumbangan lebih rendah daripada TBP sepanjang tempoh gangguan tersebut.

 

Namun begitu, pengurusan menyasarkan operasi turbin kembali normal pada suku kedua.

 

Sasaran Harga Saham

Dari sudut penilaian, RHB Research menurunkan harga sasaran kepada RM0.90 daripada RM0.93 berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 20 kali FY2026, selaras dengan purata tiga tahun kumpulan tersebut.

 

Penilaian turut mengambil kira diskaun ESG sebanyak 12% berikutan insiden di Tanjung Bin Energy dan gangguan jeti, yang meletakkan skor ESG Malakoff pada 2.4 berbanding median negara 3.0.

 

Firma penyelidikan itu menegaskan bahawa risiko utama kekal kepada gangguan operasi yang tidak dijangka, manakala turun naik kos bahan api memberi kesan minimum kepada pendapatan kerana ia dipindahkan kepada pengguna di bawah rangka kerja kawal selia semasa.

 

Loji  Janakuasa berasaskan Gas

Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, RHB Research melihat potensi pemangkin pertumbuhan jangka panjang daripada rancangan pengembangan loji janakuasa berasaskan gas oleh Malakoff.

 

Kumpulan itu telah memperuntukkan empat turbin bagi dua loji gas 1.4GW yang dicadangkan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Segari, Perak.

 

Dengan Malaysia dijangka memerlukan tambahan 5 hingga 6GW kapasiti loji gas menjelang 2030, RHB Research tidak menolak kemungkinan anugerah projek diumumkan dalam tahun ini.

 

Tender NewGen2026

Pengurusan juga tidak menolak penyertaan dalam tender NewGen2026 oleh Suruhanjaya Tenaga yang menyasarkan penjanaan operasi antara 2029 hingga 2031, dengan penutupan bidaan pada Julai dan keputusan dijangka diumumkan menjelang hujung tahun.

 

RHB Research menganggarkan, sekiranya Malakoff berjaya memperoleh projek loji gas 1.4GW, ia berpotensi memberikan peningkatan sehingga 43% kepada penilaian semasa kumpulan tersebut.

 

Aset gas baharu itu juga dilihat penting bagi menggantikan loji arang batu TBP berkapasiti 2.1GW yang dijadualkan ditamatkan operasi pada 2031.

 

Walaupun berdepan gangguan operasi jangka pendek, RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas Malakoff Corporation Berhad, dengan menyatakan operasi loji yang semakin pulih serta potensi pertumbuhan daripada projek gas baharu.

 

Harga sasaran baharu RM0.90 memberi potensi kenaikan sekitar 15% dengan hasil dividen dianggarkan 5% bagi FY2026. - DagangNews.com