KUALA LUMPUR 24 April – Tanco Holdings Berhad menyemak semula struktur komersial bagi cadangan pembangunan pelabuhan kontena pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan menukar model pajakan jangka panjang kepada model konsesi pembangunan pelabuhan (PDC).
Perubahan struktur itu dimeterai melalui perjanjian tambahan antara anak syarikat Tanco, Midports Holdings Sdn Bhd dan MBINS Ventures Sdn Bhd dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan), sekali gus meminda perjanjian asal yang ditandatangani pada November tahun lalu.
Di bawah struktur baharu itu, projek pelabuhan tersebut kekal berada dalam rangka tempoh keseluruhan sehingga 98 tahun, namun dibahagikan kepada tempoh konsesi awal selama 33 tahun dengan dua pilihan lanjutan masing-masing 33 tahun dan 32 tahun.
Projek ini melibatkan kira-kira 73 hektar (180 ekar) untuk pembinaan pelabuhan kontena utama manakala 194 hektar (480 ekar) keseluruhan kawasan pembangunan Midport akan merangkumi pelabuhan serta kawasan sokongan seperti logistik, gudang dan industri sekitar.
Lokasi projek itu mempunyai kelebihan semula jadi dengan kedalaman laut melebihi 21 meter, yang membolehkannya menampung kapal kontena bersaiz besar dari seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara lokasi strategik bagi pelabuhan moden.
Pelabuhan yang dicadangkan itu akan dibangunkan sebagai hab logistik berteknologi tinggi yang menggabungkan sistem automasi, teknologi hijau serta penggunaan AI dalam pengendalian kargo dan operasi logistik.
Di bawah struktur baharu konsesi, yuran asas kekal pada kadar RM5 juta sebulan, dibayar secara pendahuluan dan tertakluk kepada kenaikan 5% setiap lima tahun.
Bayaran tersebut akan bermula tiga tahun selepas perjanjian dimeterai atau selepas pelabuhan mula beroperasi, mengikut mana yang lebih lewat.
Sebahagian bayaran bulanan iaitu RM1 juta akan disalurkan terus kepada MBINS sebagai sebahagian daripada struktur perkongsian manfaat dalam projek berkenaan.
Tanco menjelaskan bahawa perubahan struktur ini tidak dijangka memberi kesan material secara langsung kepada prestasi kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Sebelum ini, syarikat telah menamakan CCCC Dredging Southeast Asia Sdn Bhd sebagai kontraktor utama bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan pelabuhan dengan nilai indikatif sehingga RM3.53 bilion, dan pembinaan dijangka mengambil masa sekitar tiga setengah tahun.
Selain itu, Ocean Bridge International Ports Management Co Ltd dari Hong Kong telah dilantik untuk mengendalikan operasi terminal serta melaksanakan teknologi AI dan automasi dalam pengurusan kargo, penyimpanan dan logistik pelabuhan.
Walaupun operasi akan dikendalikan oleh pihak luar, hak pemilikan serta keputusan utama berkaitan aset terminal kekal di bawah Midports Holdings, yang juga akan menanggung segala keuntungan dan kerugian daripada operasi pelabuhan tersebut. - DagangNews.com








