KUALA LUMPUR 4 Mac - Tan Chong Motor Holdings Bhd diramal terus mencatatkan kerugian pada FY25 memandangkan kekurangan pemangkin bagi membalikkan kerugian yang semakin bertambah, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah keseluruhan jualan kenderaan (TIV) akan menyusut pada tahun ini dan mereka menganggarkan jumlah jualan kumpulan itu akan terus menurun .
Katanya, kumpulan itu tidak mungkin mencatatkan keuntungan pada tahun ini memandangkan ketiadaan strategi pemulihan yang jelas daripada pihak pengurusan.
Walaupun Tan Chong Motor memperkenalkan model e-Power, Nissan Kicks pada November 2024 namun persaingan dalam pasaran tempatan khususnya dalam segmen bukan nasional yang akan mempengaruhi pendapatan kumpulan. Pada FY24, bahagian pasaran Nissan di Malaysia berjumlah 1% (FY23: 1.3%).
"Kami mengurangkan ramalan FY25-FY26 kami sebanyak 5% dan 6% selepas mengambil kira jumlah jualan kereta yang lebih rendah memandangkan persaingan yang berterusan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian bersih Tan Chong Motor pada FY24 meningkat kepada RM214.2 juta kesan penyusutan hasil
"Kami masih menjangkakan kumpulan akan terus mencatatkan kerugian memandangkan ketiadaan pelan pemulihan yang jelas," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, hasil kumpulan menyusut kepada RM2.08 bilion berbanding RM2.53 bilion pada FY23.
Bahagian automotif merekodkan hasil lebih rendah sebanyak RM492.5 juta pada suku semasa, pengurangan sebanyak 15% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kerugian FY24 sebahagiannya terkesan oleh kerugian tukaran mata wang asing RM29 juta, kumpulan itu masih mencatatkan kerugian jika tiada kerugian tukaran mata wang asing kerana hasil semasa tidak mencukupi untuk menampung kosnya.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 27 sen berbanding 32 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








