Tan Chong Motor dikhuatiri terus rugi hingga 2027 susulan tekanan pasaran, MBSB kekal saranan Jual | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Chong Motor dikhuatiri terus rugi hingga 2027 susulan tekanan pasaran, MBSB kekal saranan Jual

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun – Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCM) dijangka berdepan pemulihan yang perlahan susulan tekanan jualan dan margin yang masih lemah, walaupun terdapat beberapa pelancaran model baharu yang mula menunjukkan hasil awal, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Jual” ke atas saham TCM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.34, lebih rendah berbanding harga pasaran semasa sekitar RM0.48. 

 

Saranan itu dibuat berdasarkan jangkaan bahawa syarikat masih akan mencatat kerugian dalam tempoh unjuran sehingga 2027.

 

“Prospek TCM disifatkan masih mencabar berikutan persaingan industri automotif yang sengit serta kelewatan pemulihan jualan di pasaran utama.

 

“Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), jualan Nissan di Malaysia merosot 34.8 peratus tahun ke tahun (yoy), dipengaruhi oleh pelancaran model yang perlahan serta tekanan persaingan daripada jenama automotif lain,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Namun begitu, penurunan ini sedikit diimbangi oleh peningkatan jualan UD Trucks sebanyak 22.4 peratus yoy serta sumbangan awal daripada jenama TQ Wuling yang mencatat 156 unit jualan.

 

Model TQ Wuling Bingo yang dilancarkan pada Disember 2025 hanya mula dihantar pada Februari 2026, namun momentum jualan mula meningkat dengan sekitar 91 unit didaftarkan pada April 2026 berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

MBSB Research berkata Nissan Serena e-POWER yang dilancarkan pada Mac 2026 hanya sempat mencatat satu bulan jualan dalam suku tersebut, namun permintaan terhadap model itu didapati lebih tinggi daripada jangkaan sehingga menyebabkan pelanggan perlu menunggu sebelum kenderaan dapat diserahkan.

 

“Pengurusan memaklumkan model itu kini menyumbang sekitar 70 peratus daripada keseluruhan jualan Nissan di Malaysia yang menjadi pemacu utama segmen tersebut buat masa ini.

 

“Dari sudut pasaran luar negara, Vietnam mencatat penurunan jualan sebanyak 29.8 peratus yoy kepada 144 unit, dipengaruhi oleh kelemahan dalam segmen kenderaan penumpang GAC serta trak ringan TQ Wuling.

 

t

 

“Sebaliknya, pasaran Indochina lain menunjukkan prestasi lebih kukuh, dengan Myanmar mencatat pertumbuhan 47.5 peratus yoy disokong oleh jualan stabil Nissan serta pelancaran trak ringan TQ Wuling N300P dari kilang Da Nang, Vietnam,” katanya.

 

Firma tersebut turut melihat potensi eksport sebagai pemangkin pertumbuhan masa depan, khususnya bagi Nissan Serena e-POWER selepas kejayaan eksport Serena S-Hybrid ke Thailand pada akhir 2024.

 

Selain itu, kilang Segambut dijangka mencatat penggunaan kapasiti lebih baik mulai separuh kedua 2026, dipacu pengeluaran model GAC GS3 EMZOOM pemanduan kiri untuk pasaran eksport ke Vietnam.

 

Dalam perkembangan produk, TCM merancang melancarkan model ketiga Nissan e-POWER pada suku ketiga 2026, yang secara meluas dijangka merupakan Nissan X-Trail, manakala dua lagi pelancaran dijangka datang daripada portfolio kenderaan elektrik (EV) TQ Wuling.

 

Dari segi kewangan, kumpulan mencatat hasil RM2.11 bilion pada 2025, namun masih merekodkan kerugian bersih dengan PATAMI teras sebanyak -RM203.4 juta, mencerminkan tekanan keuntungan yang berterusan.

 

Aliran tunai operasi kekal positif pada 2025, namun aliran tunai bersih masih negatif akibat perbelanjaan pelaburan (CAPEX) sekitar RM100 juta setahun serta perubahan modal kerja.

 

Struktur kewangan kumpulan turut menunjukkan tekanan dengan hutang jangka pendek melebihi RM1.5 bilion pada 2026F, manakala paras tunai dijangka kekal sederhana sekitar RM258 juta hingga RM327 juta sepanjang tempoh unjuran.

 

Oleh itu, MBSB Research mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap TCM, dengan jangkaan pemulihan syarikat akan berlaku secara berperingkat dan mengambil masa lebih panjang berikutan persaingan sengit industri, margin rendah serta struktur kos yang tinggi. - DagangNews.com