Tan Chong Motor alami kerugian berterusan, dua firma broker saran Jual | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Chong Motor alami kerugian berterusan, dua firma broker saran Jual

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Prestasi lemah Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCM) pada FY25 menyebabkan penganalisis mengekalkan saranan Jual kerana kerugian berterusan dan prospek jangka pendek yang semakin mencabar.

 

Maybank Investment Bank berkata kerugian bersih teras sebanyak RM207 juta bagi FY25, lebih tinggi daripada jangkaan mereka dan konsensus pasaran. 

 

Firma penyelidikan itu berkata hasil FY25 meningkat sedikit sebanyak 1% kepada RM2.11 bilion, disokong oleh keuntungan satu kali daripada penilaian semula hartanah, tetapi jualan Nissan merosot 17% YoY kepada 6,435 unit.

 

Maybank IB berkata dalam suku keempat FY25, pendapatan TCM menurun sebanyak 8% QoQ kepada RM487 juta, dengan penjualan Nissan di Malaysia jatuh 16% kepada 1,387 unit. 

 

“Kerugian berterusan suku keempat sebahagiannya disebabkan oleh kadar pertukaran asing yang lebih tinggi dan penurunan hasil operasi kewangan.

 

“Meskipun pelancaran TQ Wuling Bingo EV memberi impak positif secara strategik, tetapi pelaksanaan projek EV masih mencabar, dengan tiada pendaftaran direkodkan pada bulan pertama. 

 

“Projek pemasangan kereta GAC (Guangzhou Automobile Group, pengeluar kereta dari China) secara sepenuhnya (CKD) dan pengenalan TQ Wuling masih belum memberi kesan yang ketara kepada keuntungan syarikat,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Maybank turut menegaskan bahawa kejayaan pengedaran Nissan yang stabil adalah penting untuk meningkatkan nilai saham. Sekiranya masalah pengedaran Nissan tidak diselesaikan, peningkatan pendapatan dalam jangka pendek dijangka terhad.

 

Firma tersebut juga menurunkan sasaran harga TCM kepada RM0.38 daripada RM0.73 sebelum ini, berdasarkan nisbah PBV FY26E 0.1x dan menegaskan sebarang kenaikan nilai saham bergantung kepada kejayaan strategi pengedaran Nissan atau sebarang pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang dapat menambah nilai syarikat.

 

Dalam pada itu, MBSB Research pula berkata kerugian teras TCM FY25 sebanyak RM166.3 juta adalah sejajar dengan jangkaan mereka dan konsensus pasaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata meskipun berlaku penurunan jualan Nissan di Malaysia dan Vietnam, tetapi margin bertambah baik hasil daripada pengurusan kos yang lebih cekap. 

 

“Divisyen perkhidmatan kewangan yang menyumbang kurang daripada 5% daripada pendapatan turut mencatat LBITDA lebih baik berbanding suku sebelumnya.

 

“Pelancaran Nissan Serena e-POWER yang dijangka pada Mac 2026 bakal menjadi tarikan utama dalam rancangan model baharu TCM. Walaupun ia penting bagi syarikat, kesan terhadap keuntungan masih belum ketara kerana model ini baru dalam fasa permulaan jualan dan pemasaran.

 

“Selain itu, kerjasama TCM dalam projek kenderaan elektrik (EV) memberi prospek positif untuk jangka panjang, tetapi ia memerlukan masa sebelum dapat menyumbang kepada pendapatan sebenar syarikat,” katanya.

 

MBSB Research berkata walaupun beberapa usaha sama dan syarikat berkaitan mencatat keuntungan kecil RM0.9 juta pada suku keempat FY25, jumlah ini masih jauh daripada menampung keseluruhan kerugian syarikat. 

 

“Oleh itu, pengurusan aliran tunai dan kos operasi tetap menjadi fokus utama pihak pengurusan.

 

“Kami mengekalkan saranan Jual dengan sasaran harga RM0.34 dengan ramalan TCM kekal mencatat kerugian sepanjang FY26 dan FY27. Prestasi masa depan syarikat bergantung kepada kejayaan pelancaran model baharu dan kecekapan pengurusan kos yang berterusan,” katanya. - DagangNews.com