Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.5%, tertinggi dalam tempoh 8 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.5%, tertinggi dalam tempoh 8 tahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), lebih tinggi  berbanding 3.25% pada FY24.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini menjadikan agihan keuntungan tahun lalu sebagai tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

 

Katanya, agihan tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM3.22 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.

 

 

 

 

 

“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25% yang direkodkan pada 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih kukuh serta pengurusan kewangan yang berdisiplin,” katanya pada majlis pengumuman tersebut.

 

Turut hadir, Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad.

 

TH turut mengisytiharkan zakat sebanyak 2.58% bagi FY25, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit mencecah RM95.3 juta.

 

Dari segi prestasi, jumlah pendapatan pelaburan meningkat kepada RM4.64 bilion berbanding RM4.56 bilion tahun sebelumnya, manakala jumlah aset di bawah pengurusan turut berkembang kepada RM96.37 bilion daripada RM95.06 bilion sebelum ini. 

 

 

Strategi Pelaburan Konservatif

Abdul Rashid Hussain berkata, TH sejak sekian lama mengamalkan pendekatan pelaburan konservatif dengan portfolio lebih tertumpu kepada instrumen pendapatan tetap.

 

“Portfolio kami secara tradisinya cenderung kepada pendapatan tetap, mencerminkan strategi konservatif serta struktur aset kami, termasuk peruntukan berkaitan kerajaan yang memberikan pulangan stabil,” katanya.

 

Instrumen pendapatan tetap kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil keseluruhan, iaitu sebanyak 53%, diikuti oleh ekuiti sebanyak 34%.

 

Menurut beliau, kira-kira 86% daripada jumlah pendapatan pelaburan TH dijana daripada pelaburan domestik, mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan.

 

Melangkah ke hadapan, Abdul Rashid berkata TH kini sedang menilai semula strategi peruntukan aset bagi memastikan kelestarian jangka panjang serta meningkatkan pulangan.

 

“Dengan kedudukan kunci kira-kira yang kini lebih kukuh, kami berada dalam posisi lebih baik untuk menyemak dan memperhalusi peruntukan aset bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang dengan input daripada penasihat profesional luar,” katanya.

 

Beliau menambah, walaupun TH akan terus berhati-hati, terdapat ruang untuk meningkatkan pendedahan kepada ekuiti secara berperingkat.

 

“Pada tahun ini, kami kembali dapat menyisihkan rizab, yang tidak dapat dilakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana fokus kepada pengukuhan kedudukan kewangan.

 

 

 

 

“Keutamaan kami adalah kelestarian, melindungi dana pendeposit serta memastikan pulangan kekal kompetitif dan selari dengan keadaan pasaran,” katanya.

 

Dalam pada itu, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang telah dikreditkan ke dalam akaun masing-masing mulai 19 Mac menerusi platform THiJARI, cawangan TH serta platform dalam talian bank rakan seperti Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic. - DagangNews.com