TA Securities yakin pasaran buruh stabil, kadar pengangguran 2026 berpotensi susut kepada 2.8% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities yakin pasaran buruh stabil, kadar pengangguran 2026 berpotensi susut kepada 2.8%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 MacPasaran buruh Malaysia diyakini kekal stabil dengan kadar pengangguran berpotensi menurun kepada purata sekitar 2.8% sepanjang tahun ini, menurut TA Securities.


Tambah firma penyelidikan tersebut, situasi itu disokong oleh momentum pertumbuhan ekonomi yang berterusan, permintaan tenaga kerja lebih mapan dan pemulihan sektor utama termasuk pelancongan.


Katanya, walaupun terdapat sedikit pelonggaran dalam aktiviti pengambilan pekerja pada awal tahun, asas pasaran buruh negara adalah kekal kukuh dengan kadar penyertaan tenaga kerja yang stabil.


"Pada Januari 2026, kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.9%, manakala jumlah pekerja meningkat kira-kira 0.4% tahun ke tahun (YoY) kepada 17.28 juta orang," ujar TA Securities dalam notanya.


Selain itu jelas firma berkenaan, jumlah pekerjaan pula didapati meningkat 0.5% YoY kepada 16.77 juta orang, dipacu oleh pertumbuhan pekerjaan yang merentas kebanyakan sektor ekonomi utama.


Sektor perkhidmatan katanya, terus mencatat pertambahan pekerja, khususnya aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan dan makanan serta minuman (F&B) selain pengangkutan dan penyimpanan.


Pada masa sama tambah TA Securities, sektor lain seperti pertanian, pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan trend pertumbuhan pekerjaan secara positif.


"Dari segi kategori pekerjaan, kumpulan pekerja bergaji kekal sebagai komponen terbesar dengan 75.1% daripada jumlah tenaga kerja, meningkat 0.2% kepada 12.59 juta orang," jelas firma itu.

 

buruh


Bilangan pekerja yang bekerja sendiri juga meningkat 0.6% kepada 3.13 juta orang, manakala jumlah penganggur susut 4.5% YoY kepada 509,600 orang berbanding 533,800 orang pada tempoh sama 2025.


Perkembangan berkenaan sekali gus mengekalkan kadar pengangguran pada 2.9%, namun ujar TA Securities, secara bulanan (MoM) pula jumlah penganggur naik sedikit 0.3% daripada 507,900 orang.


Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi itu berkemungkinan mencerminkan pelarasan jangka pendek selepas tamat tempoh pekerjaan jenis sementara pada musim perayaan hujung tahun lalu.


"Pertumbuhan pekerjaan yang lebih perlahan pada Januari 2026 dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi selepas peningkatan pengambilan pekerja yang kukuh sepanjang tahun lalu," tambahnya.


Melangkah ke hadapan, TA Securities menjangkakan pasaran buruh Malaysia masih lagi kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan dasar monetari yang menyokong negara.


Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan inflasi dan pertumbuhan ekonomi, yang menyokong sentimen pekerjaan.


Dalam masa sama ujarnya, sektor pelancongan dijangka menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi, antaranya Johor yang menyasarkan kemasukan 12 juta pelancong asing sepanjang tahun ini.


"Usaha ini menyokong sasaran Malaysia menarik 47 juta pelawat antarabangsa serta menjana RM329 bilion hasil pelancongan pada 2026, sekali gus mencipta banyak peluang kerja," kata TA Securities.


Sehubungan itu, ia menjangkakan pasaran buruh negara terus berkembang secara beransur-ansur sejajar pelaburan swasta yang kukuh dan pelaksanaan pembaharuan struktur. - DagangNews.com