TA Securities yakin kenaikan 3 kali ganda harga perkakasan global beri kelebihan kepada ICT Zone | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities yakin kenaikan 3 kali ganda harga perkakasan global beri kelebihan kepada ICT Zone

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Mac — Lonjakan harga perkakasan teknologi maklumat (IT) global akibat permintaan pusat data (DC) dijana kecerdasan buatan (AI) kini mengubah corak perbelanjaan syarikat teknologi.


Menurut TA Securities, perkembangan positif berkenaan sekali gus mempercepatkan peralihan daripada model perbelanjaan modal (capex) kepada perbelanjaan operasi (opex) yang lebih menjana keuntungan.


Tambah firma itu, perubahan struktur ini memberi kelebihan ketara kepada ICT Zone Asia Berhad, terutama dalam segmen teknologi kewangan (TechFin) yang berasaskan penyewaan dan pendapatan berulang.


"Harga komponen utama seperti DDR5 RAM melonjak tiga kali ganda, manakala pelayan dan storan turut mengalami tekanan harga yang sama, dengan dijangka normal menjelang pertengahan 2027," jelasnya.


Situasi kali ini memaksa pelanggan dengan modal terhad beralih kepada model sewaan, yang secara langsung memacu permintaan terhadap rumusan TechFin ditawarkan kumpulan rumusan teknologi itu.


Setakat 31 Januari 2026 tambah TA Securities, ICT Zone Asia memiliki buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM293 juta dan dijangka meningkat kepada RM400 juta menjelang tahun kewangan 2027 (FY27).


Syarikat berkenaan ujar firma penyelidikan tersebut, turut memperoleh kontrak TechFin baharu yang bernilai RM45.1 juta pada Januari 2026, sejajar dengan sasaran penambahan kontrak sebanyak RM200 juta.


ICT Zone Asia

 

"Selain itu, ia memasuki FY27 dengan hasil terkumpul RM106.5 juta daripada kontrak TechFin serta RM41.6 juta kontrak perdagangan yang sudah diumumkan, memberikan asas pendapatan kukuh," katanya.


TA Securities berkata, ICT Zone Asia juga meraih manfaat tambahan daripada lanjutan tempoh kontrak sedia ada akibat kelewatan penghantaran pembekal lain, dan menjana hasil tanpa ada kos pemasaran.


Dalam perkembangan lain ujarnya, segmen awan dilihat berpotensi besar sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang, dengan fokus kini diperluaskan kepada kontrak kerajaan selepas sektor korporat.


Kumpulan ini turut merancang mempelbagaikan sumber pembiayaan melalui penerbitan nota jangka sederhana (MTN) patuh syariah bernilai hingga RM50 juta, bagi menyokong banyak kontrak TechFin.


"Dari segi pasaran, segmen kerajaan kekal penyumbang utama hasil iaitu 75%, namun kadar penembusan masih rendah sekitar 15% daripada 6,000 agensi, memberikan ruang pertumbuhan yang luas," katanya.


Sehubungan itu jelas TA Securities, pengurusan kumpulan ini menyasarkan peningkatan pegangan pasaran hingga 30% melalui pengukuhan hubungan sedia ada serta peluasan rangkaian rakan strategik.


Berdasarkan situasi semasa, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas ICT Zone Asia dengan harga sasaran (TP) 31 sen bersandarkan 11 kali gandaan harga kepada pendapatan (PER) bagi FY26.


Firma itu menyatakan daya tarikan kumpulan ini disokong oleh model perniagaan berasaskan kontrak, kecekapan modal serta manfaat daripada agenda pendigitalan kerajaan. - DagangNews.com