TA Securities: Persaingan sengit industri terus kurangkan pelanggan Maxis kepada 10.7 juta pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities: Persaingan sengit industri terus kurangkan pelanggan Maxis kepada 10.7 juta pengguna

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mei – Tekanan persaingan sengit dalam industri telekomunikasi terus membayangi Maxis Berhad apabila jumlah langganan pengguna susut pada suku pertama tahun kewangan 2026.


Menurut TA Securities, keadaan diburukkan lagi apabila kumpulan perkhidmatan telekomunikasi itu mencatatkan penyusutan purata hasil setiap pengguna (ARPU) bagi segmen prabayar dan pascabayar.


Ia namun mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) RM4.37 kerana dilihat masih berjaya mencatat pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang stabil.


“Walaupun persaingan pasaran amat sengit dan jumlah langganan pengguna Maxis susut kepada 10.74 juta, prestasi keseluruhan berada dalam jangkaan kami,” kata firma tersebut dalam analisisnya.


Tambah TA Securities, keuntungan teras kumpulan itu bagi 1QFY26 meningkat 12.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM417 juta, dipacu pertumbuhan hasil perkhidmatan serta pengembangan margin operasi.


Bagi tempoh sama pula jelasnya, hasil perkhidmatan syarikat berkenaan didapati bertambah kira-kira 3.3% kepada sebanyak RM2.24 bilion disokong faktor pertumbuhan segmen pengguna dan perusahaan.

 

Maxis_DagangNews


Hasil segmen pengguna Maxis ujar firma tersebut, naik 2.8% kepada RM1.82 bilion, didorong oleh inisiatif pemerolehan pelanggan secara bersasar serta penawaran produk mengikut segmen pelanggan.


"Sementara hasil segmen perusahaan meningkat 5.3% kepada RM419 juta susulan perkhidmatan borong serta penghantaran projek yang tinggi bagi segmen tetap dan rumusan digital," kata TA Securities.


Secara suku ke suku (QoQ), pendapatan perkhidmatan susut 2.4% akibat sumbangan lemah semua segmen, namun keuntungan bersih teras masih naik 9.7% dipacu kos peranti rendah serta caj susut nilai.


Dalam pada itu jelasnya, pengurusan Maxis terus mengekalkan panduan prestasi pada FY26 dengan sasaran pertumbuhan hasil perkhidmatan dan untung kasar pada kadar satu digit yang rendah.


Nisbah perbelanjaan modal (capex) kepada hasil pula kata TA Securities, dijangka berada antara 10% hingga 12%, berikutan tumpuan pasaran kini turut terarah kepada isu Digital Nasional Berhad (DNB).


"Pengambilalihan 33.3% dijangka dimuktamadkan menjelang akhir suku ketiga 2026, dan selepas urus niaga selesai, syarikat akan merekodkan pegangan dalam DNB menggunakan kaedah ekuiti,” katanya.


Firma penyelidikan tersebut bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 tanpa perubahan kerana prestasi semasa masih sejajar jangkaan awal. - DagangNews.com