TA Securities menilai harga saham Chemlite yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities menilai harga saham Chemlite yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - TA Securities memberikan nilai wajar kepada syarikat pembekal perkhidmatan sokongan kejuruteraan, Chemlite Innovation Bhd pada 29 sen sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 16% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Mac 2025.

 

"Kami percaya penilaian itu wajar, disokong rekod prestasi cemerlang selain keupayaan menawarkan pelbagai perkhidmatan, kedudukan tunai bersih serta margin yang baik selain pasukan pengurusan yang berpengalaman.

 

"Kami menganggarkan kumpulan mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 8.8%, 12.8% dan 27.1% kepada RM9.7 juta, RM10.9 juta dan RM13.9 juta untuk FY25, FY26 dan FY27, disokong pelan pengembangan perniagaannya dan prospek industri yang sihat," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang mewujudkan kiang baharu di Pulau Pinang dengan keluasan binaan sekurang-kurangnya 100,000 kaki persegi di tapak perindustrian seluas 1.21 hektar. 

 

Selain itu, kumpulan itu juga menyasakan untuk membina sekurang-kurangnya empat garisan anodis automatik sepenuhnya dan empat talian penyaduran logam separa automatik.

 

"Chemlite itu merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan pembersihan dan pembungkusan bilik bersih untuk meningkatkan tawaran nilai tambahnya untuk pelanggan semikonduktor dan sektor elektrik dan elektronik (E&E).

 

TA Securities berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mengembangkan penawaran perkhidmatannya untuk memenuhi spesifikasi dan keperluan asas pelanggannya yang berkembang melalui penyelidikan dan pembangunan berterusan.

 

IPO Chemlite melibatkan terbitan awam 120 juta saham baharu bersama-sama dengan tawaran untuk penjualan 60 juta saham sedia ada.

 

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan menyokong pertumbuhan.

 

Sebahagian daripada dana itu akan disalurkan ke arah meningkatkan keupayaan operasi, termasuk membina kemudahan operasi tambahan, menyediakan bilik bersih, melabur dalam jentera dan peralatan canggih, dan menubuhkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus.

 

Baki dana akan digunakan untuk mengukuhkan modal kerja bagi memenuhi pertumbuhan perniagaan dan keperluan operasi.

 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO Chemlite. - DagangNews.com