KUALA LUMPUR 28 Feb - T7 Global Bhd mencatat untung bersih sebanyak RM15.6 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 (4QFY24).
Penyedia rumusan tenaga itu juga merekodkan hasil lebih RM188 juta dengan penambahbaikan margin didorong oleh hasil segmen perniagaan rumusan industri.
Bagi FY24, T7 mencatat hasil sebanyak RM647.2 juta, menandakan peningkatan 11.2% daripada FYE2023
Untung bersih melonjak pada 38.5% kepada RM45 juta yang juga dibantu oleh pendapatan segmen perniagaan rumusan industri yang mencatat kenaikan pertumbuhan sebanyak 98.7%.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, prestasi kewangan 4QFY24 itu mencerminkan kekuatan segmen operasi perniagaan dan pelan strategik kumpulan.
“Kepelbagaian perniagaan dalam segmen rumusan industri menyumbang sebanyak 43.5% daripada jumlah hasil kumpulan pada FY24.
“Kami yakin segmen ini akan menjadi pemangkin bagi mendorong pertumbuhan mampan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, T7 telah berjaya memperoleh beberapa kontrak jangka panjang dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan & pengubahsuaian (MCM), perkhidmatan sambungan & pentauliahan (HUC), perkhidmatan telaga termasuk aktiviti terbiar telaga luar pesisir pada 2024.
“Kemenangan ini akan mengukuhkan perancangan projek kami dan mengukuhkan kedudukan pasaran kami sebagai pemain industri terkemuka.
“Dengan momentum yang positif, kami optimis terhadap perkembangan kumpulan pada 2025 dengan pelaksanaan fokus untuk projek sedia ada dan baharu,” katanya. - DagangNews.com








