T7 Global ambil tindakan susulan dapatkan RM22.9 juta daripada VME Process Systems | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global ambil tindakan susulan dapatkan RM22.9 juta daripada VME Process Systems

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Anak syarikat T7 Global Bhd, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd, sedang meningkatkan usaha untuk mendapatkan semula RM22.88 juta yang telah diperintahkan oleh mahkamah dengan mengambil tindakan susulan terhadap VME Process Systems Malaysia Sdn Bhd dan sekutunya yang berpangkalan di Singapura.

 

Langkah itu diambil selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 5 Julai 2024 yang memihak kepada Tanjung Offshore dalam saman undang-undangnya terhadap kedua-dua entiti VME tersebut.

 

T7 Global berkata, VME telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan. Pendengaran rayuan itu telah dijadualkan pada 21 Oktober ini.

 

"Dalam pada itu, Tanjung Offshore telah memulakan prosiding melibatkan pihak ketiga untuk menguatkuasakan penghakiman tersebut,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Tanjung Offshore telah memfailkan dua permohonan, yang pertama pada 19 Mac lalu terhadap Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan yang kedua pada 20 Jun terhadap MTC Engineering Sdn Bhd.

 

Permohonan terhadap Standard Chartered Bank dibuat berdasarkan kepercayaan VME mempunyai akaun bank dengan institusi kewangan tersebut. Pendengaran bagi permohonan itu telah ditetapkan pada 14 Ogos.

 

Bagi permohonan terhadap MTC, Tanjung Offshore sedang berusaha untuk mengarahkan semula dana yang terhutang oleh MTC kepada VME susulan satu kes Mahkamah Tinggi yang berasingan, di mana VME berjaya menyaman MTC berhubung invois yang tidak dibayar berjumlah lebih AS$25.6 juta berkaitan dengan satu kontrak yang telah ditamatkan dengan Sandakan Offshore (M) Sdn Bhd.

 

Mahkamah Tinggi memutuskan obligasi MTC adalah obligasi prinsipal secara langsung dan bukan jaminan bersyarat, menjadikan MTC bertanggungjawab membayar terus kepada VME.

 

“Berdasarkan perkara ini, Tanjung Offshore sedang berusaha untuk mendapatkan semula jumlah penghakimannya melalui prosiding daripada pihak ketiga terhadap MTC,” kata syarikat itu.

 

Tanjung Offshore kini sedang menunggu notis permohonan yang dimeterai serta tarikh pengurusan kes bagi tindakan terhadap MTC.- DagangNews.com