Systech, MYX Ventures bekerjasama fokus integrasi sistem, inovasi digital sektor korporat dan awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Systech, MYX Ventures bekerjasama fokus integrasi sistem, inovasi digital sektor korporat dan awam

Kerjasama itu memperkukuh strategi kumpulan untuk menjadi pemacu utama transformasi digital di negara ini
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 April – Systech Bhd memperkukuh agenda transformasi digitalnya apabila anak syarikat milik penuhnya, Systech Digital Solutions Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan MYX Ventures Sdn Bhd bagi mempercepatkan penggunaan inovasi digital dalam sektor korporat dan awam.

 

Kerjasama tersebut bertujuan menggabungkan kepakaran penyumberan masalah digital oleh MYX Ventures dengan keupayaan penyepaduan sistem serta pelaksanaan teknologi oleh Systech Digital, khususnya dalam pembangunan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem perusahaan.

 

Di bawah perjanjian itu, Systech Digital akan bertindak sebagai rakan kongsi penyepaduan sistem utama bagi inisiatif terpilih MYX Ventures. 

 

Ia merangkumi reka bentuk seni bina penyelesaian, integrasi sistem hujung ke hujung, pelaksanaan teknikal serta pengurusan projek digital berskala besar.

 

Sementara itu, MYX Ventures akan memberi tumpuan kepada pengumpulan serta penstrukturan keperluan daripada pelanggan korporat, agensi kerajaan dan rakan ekosistem. 

 

Platform inovasi terbuka yang dimilikinya akan digunakan untuk menilai dan memadankan rumusan digital yang bersesuaian.

 

Kedua-dua pihak menyasarkan untuk membangunkan rumusan digital bersepadu yang boleh digunakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat tersenarai serta agensi kerajaan, selain meneroka peluang di peringkat serantau.

 

Kerjasama ini turut memberi penekanan kepada sokongan terhadap syarikat Malaysia Digital (MD), dengan membuka ruang kepada penyertaan penyedia teknologi tempatan dalam projek-projek yang dipilih bagi memperkukuh ekosistem inovasi digital negara.

 

Menurut Systech, model kerjasama ini dijangka mempercepatkan proses daripada peringkat idea, bukti konsep (POC), pembangunan produk minimum berdaya maju (MVP) sehingga pelaksanaan berskala penuh, sekali gus meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi teknologi.

 

Pengarah Urusan Systech Bhd Dr Low Min Yew berkata, kerjasama itu memperkukuh strategi kumpulan untuk menjadi pemacu utama transformasi digital perusahaan, dengan menggabungkan keupayaan inovasi MYX dan kepakaran teknikal Systech dalam penyepaduan sistem.

 

Perjanjian kerjasama tersebut berkuat kuasa selama dua tahun bermula 23 April 2026 dan tidak memberi sebarang kesan material kepada modal saham, pendapatan atau kedudukan kewangan Systech bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.- DagangNews.com