KUALA LUMPUR, 6 Nov – Penyedia penyelesaian korporat digital terkemuka, Systech Bhd, hari ini mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan Microlink Solutions Bhd bagi melancarkan infrastruktur GPU-as-a-Service (GPUaaS) generasi baharu Malaysia yang dikuasakan pelayan Super Micro Computer, Inc. (Supermicro) berintegrasi teknologi NVIDIA.
Inisiatif ini diterajui oleh anak syarikat milik penuh Systech, Systech Digital Solutions Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Wilstech Sdn. Bhd.) melalui Perjanjian Kerjasama bersama Applied Business Systems Sdn. Bhd. (ABS), anak syarikat milik penuh Microlink.
Perjanjian tersebut memperincikan komitmen bersama untuk membangunkan penyelesaian GPUaaS dan keupayaan pengkomputeran Kecerdasan Buatan (AI) berskala perusahaan, sekali gus mempercepat transformasi digital Malaysia berasaskan teknologi AI.
ABS, sebagai pengedar sah Supermicro di Malaysia, akan membekalkan infrastruktur GPU berprestasi tinggi yang dilengkapi cip NVIDIA canggih bagi menyokong penawaran GPUaaS oleh Systech.
Menurut kenyataan Systech, pelancaran rasmi kerjasama itu berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, disertai pemain utama sektor AI, perusahaan dan agensi kerajaan.
Majlis berkenaan turut menampilkan demonstrasi langsung GPUaaS yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi digital nasional.
Perkhidmatan GPUaaS membolehkan pelanggan mengakses sumber GPU mengikut permintaan tanpa memerlukan pelaburan awal besar dalam perkakasan, sekali gus menjadikan penyelesaian ini sebagai pemacu utama penerapan AI dalam sektor seperti fintech, penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan siber dan pembuatan pintar.
Pelancaran itu juga sejajar dengan aspirasi Pelan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Nasional Kecerdasan Buatan (NAIR) untuk membina ekonomi digital berdaya saing dan mampan.
“Pelancaran infrastruktur GPUaaS hari ini bukan sekadar peningkatan teknologi, tetapi satu komitmen untuk memacu masa depan AI Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Systech Bhd, Jonathan Lim Ying Ran.
“Dengan sokongan rakan kongsi kami Microlink serta kekuatan pelayan berprestasi tinggi Supermicro, kami sedang membina tulang belakang pengkomputeran AI yang akan menyokong perusahaan, sektor awam dan ekosistem inovasi di seluruh negara,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Systech Bhd, Dr. Wilson Low Min Yew berkata, kerjasama berkenaan menandakan langkah strategik untuk membina ekosistem AI yang berdaya tahan di Malaysia.
“Selain memperkukuh keupayaan AI, kami turut melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pengkomputeran kuantum dan teknologi hijau untuk memperkasakan keupayaan digital negara,” katanya.
Datuk Mohd Azizulhasni Awang, pemegang saham besar Systech Bhd, pula berkata pelancaran GPUaaS itu tiba pada masa yang tepat ketika Malaysia giat mempercepat agenda pendigitalan.
“Dengan menyediakan infrastruktur GPU berskala tinggi kepada perusahaan dan agensi kerajaan, kami membantu membuka sempadan baharu dalam sektor fintech, kesihatan dan keselamatan siber,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Microlink Solutions Bhd, Wong Kwang Chwen berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong perjalanan Systech membangunkan infrastruktur AI generasi baharu di Malaysia.
“Melalui ABS, kami akan membekalkan teknologi pelayan bertaraf dunia Supermicro yang diintegrasikan dengan penyelesaian NVIDIA. Ia adalah contoh terbaik bagaimana syarikat tempatan dapat bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan digital berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Pengarah Eksekutif Microlink Solutions Bhd, Thong Weng Sheng menambah, infrastruktur GPU berkenaan mampu menyokong pelbagai beban kerja AI dan pembelajaran mesin (ML) yang kompleks.
“Dengan asas teknologi Supermicro dan NVIDIA, kami yakin infrastruktur ini akan membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global dalam era AI,” katanya.
Selepas pelancaran, Systech dijangka menumpukan kepada pengambilan pelanggan strategik serta rakan ekosistem untuk perkhidmatan GPUaaS, di samping terus menaik taraf keupayaan infrastruktur AI bagi memenuhi permintaan terhadap pengkomputeran GPU yang selamat, cekap tenaga dan berprestasi tinggi.
Majlis pelancaran diakhiri dengan sesi soal jawab dan minat yang tinggi daripada peserta industri yang ingin meneroka potensi aplikasi AI dalam organisasi masing-masing. - DagangNews.com








