KUALA LUMPUR 19 Mac - Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Malaysia, disarankan untuk menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan daya saing dan memanfaatkan peluang dalam peralihan tenaga di luar industri itu.
Naib Presiden Kanan dan Pemangku Ketua Operasi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mustafa Akbar Reza berkata, terdapat banyak syarikat OGSE memberi tumpuan kepada satu perniagaan sahaja dan istilah 'penyatuan industri' tidak sepenuhnya menggambarkan peluang yang tersedia bagi syarikat berkaitan untuk membina kapasiti dan keupayaan.
"Saranan ini dikemukakan bagi menggalakkan kerjasama antara syarikat OGSE, membolehkan mereka memanfaatkan peluang baharu serta memperluaskan lagi pasaran mereka terutamanya di luar negara," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama menjelang pelancaran Laporan Semakan Pertengahan Pelan OGSE 2021-2030 pada 20 Mac 2025.
Pelan OGSE yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada April 2021 bertujuan untuk membangunkan sektor OGSE Malaysia yang kukuh, tahan lasak dan berdaya saing di peringkat global.
Mustafa berkata, pada 2023, terdapat sebanyak 3,392 syarikat OGSE yang berlesen dan didaftarkan di bawah Kategori Kerja dan Peralatan Tertandard (SWEC) oleh Petronas.
Katanya, melalui kerjasama strategik itu, syarikat OGSE dapat memperluaskan lagi perniagaan mereka dan bersaing lebih baik di luar negara, sekali gus membantu mereka mempelbagaikan asas pelanggan.
"Strategi ini akan membantu syarikat OGSE tidak hanya untuk berdaya saing di dalam negara, tetapi juga pada peringkat global," jelasnya.
Mustafa menambah, MPRC sedang merancang pelbagai program untuk meningkatkan daya saing dan ketahanan syarikat OGSE dalam memacu kerjasama strategik tersebut.
Beliau menekankan, MPRC akan memperkenalkan beberapa komponen baharu dalam kerjasama strategik pada 20 Mac 2025 yang mungkin melibatkan tandatangan memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian rasmi antara rakan kongsi.
Selain itu, beliau turut menyatakan, penerimaan teknologi dalam kalangan syarikat OGSE adalah satu bidang yang memerlukan perhatian.
"Usaha untuk mempercepatkan penerimaan teknologi telah menunjukkan perkembangan positif sejak tahun lalu dan ini amat penting bagi memastikan syarikat OGSE terus bersaing di pasaran global," ujarnya.
Geran Pembangunan OGSE yang diperkenalkan sejak 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta, yang memberi manfaat kepada 64 syarikat, dengan sebanyak 22 syarikat berjaya dikomersialkan dan menghasilkan pendapatan terkumpul sebanyak RM38.3 juta.
Mustafa menjelaskan, geran berkenaan membantu syarikat OGSE meningkatkan keupayaan teknologi mereka.
"Bagaimanapun, geran ini belum mendapat cukup perwakilan daripada syarikat-syarikat di Sabah dan Sarawak.
"Oleh itu, MPRC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan di kedua-dua negeri tersebut untuk menangani isu ini dan memastikan mereka juga mendapat peluang yang sama untuk mengakses geran tersebut," katanya. - DagangNews.com








