Syarat konsortium IJM-Aspen akan tambah kos kepada PDC sehingga RM294 juta, kata Chow Kon Yeow | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarat konsortium IJM-Aspen akan tambah kos kepada PDC sehingga RM294 juta, kata Chow Kon Yeow

KUALA LUMPUR 28 Mei - Beberapa syarat dikemukakan konsortium IJM-Aspen tidak memenuhi kehendak utama tender projek Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP 2), selain berpotensi meningkatkan beban kos kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Beliau berkata, PDC mentafsir sekurang-kurangnya dua perkara utama sebagai tawaran yang lebih buruk berbanding syarat asal RFP dan tidak memberi manfaat kepada PDC.

 

"Antara syarat tersebut ialah keperluan supaya PDC menyediakan sambungan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi dari Lebuhraya Bandar Cassia hingga ke sempadan pembangunan BKIP," katanya lapor The Edge.

 

Kenyataan itu bagi menjelas lanjut alasan di sebalik pembatalan tender berkenaan yang turut mendapat reaksi daripada Aspen Group dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng

 

Konsortium diterajui IJM Properties turut disertai Aspen Vision All Sdn Bhd, anak syarikat Aspen Group Holdings Ltd serta Mettiz Capital Sdn Bhd.

 

Menurut Kon Yeow, syarat itu bercanggah dengan ketetapan asal RFP yang mewajibkan semua kerja naik taraf utiliti dan infrastruktur ditanggung pemaju.

 

“Penyediaan sambungan infrastruktur sehingga ke sempadan pembangunan BKIP akan melibatkan kos kira-kira RM150 juta yang perlu ditanggung oleh PDC,” katanya.

 

Tanah Pegangan Bebas

Selain itu, Kon Yeow berkata konsortium berkenaan turut mencadangkan supaya tanah diberikan secara pegangan bebas dengan kos pemberimilikan dan premium ditanggung oleh PDC tanpa kewajipan pembayaran premium penukaran zon oleh pemaju.

 

Katanya, PDC mentafsir bahawa kos premium bagi permohonan pegangan bebas itu dianggarkan mencecah RM144 juta.

 

“Dakwaan bahawa kos pemberimilikan atau premium akan ditanggung pemaju adalah tidak benar kerana tiada sebarang kenyataan dalam tender yang dikemukakan bahawa kos tersebut akan ditanggung pembida,” katanya.

 

Secara keseluruhan, beliau berkata dua syarat tersebut sahaja berpotensi menyebabkan PDC menanggung kos kira-kira RM294 juta, sekali gus menjadikan pulangan bersih kepada agensi itu lebih rendah daripada nilai tawaran kasar RM818 juta.

 

Kon Yeow menegaskan keputusan menolak cadangan tersebut dibuat selaras dengan prosedur tadbir urus dan rangka kerja penilaian tender PDC.

 

Tambahnya, menurut syarat RFP, PDC mempunyai “hak mutlak” untuk menolak mana-mana cadangan tanpa mengira jumlah tawaran perkongsian keuntungan yang dikemukakan.

 

PDC kini akan memulakan proses tender baharu bagi tapak pembangunan berkenaan. - DagangNews.com