KUALA LUMPUR 24 Feb - Polis Timor-Leste memilih sistem penyimpanan senjata api pintar (SWS) yang dibangunkan syarikat tempatan, SWS Inntech Sdn. Bhd. (SWS Inntech) untuk dibekalkan kepada negara itu.
SWS Inntech akan membekalkan sistem dan perkakasan tersebut yang bernilai AS$5 juta (RM22.07 juta) dalam tempoh 3 tahun.
Kerjasama ini bertujuan untuk mengubah sistem pengurusan senjata pasukan polis negara Timor-Leste kepada sistem pematuhan Industri 4.0 berteknologi moden.
SWS Inntech dalam kenyataan memberitahu, kejayaan memenangi kontrak ini mengukuhkan peranan Malaysia yang semakin meningkat dalam penyelesaian keselamatan berteknologi tinggi.


“Ini sekali gus meletakkan SWS Inntech sebagai peneraju dalam inovasi keselamatan global selepas berjaya membida kontrak sistem kios persenjataan automatik polis Singapura pada tahun 2023.
“Kami berbangga kerana pasukan polis Timor-Leste memilih SWS sebagai penyelesaian penyimpanan senjata pilihannya dan menjadi sebahagian daripada usaha membina sebuah negara yang cekap, selamat dan moden,” ujar kenyataan itu.
Bagi melaksanakan projek tersebut, memorandum persefahaman telah dimeterai antara SWS Inntech dengan sebuah syarikat dari Timor-Leste, Golden Dragon Machineries LDA yang dilantik sebagai pengedar eksklusif.
Menurut kenyataan itu lagi, syarikat berkenaan akan bertindak untuk mengimport, memasar, mengedar dan menyelenggara sistem penyimpanan senjata pintar SWS di Timor-Leste.

“MoU ini dimeterai antara Pengarah Eksekutif SWS Inntech, Brian Lew Yuan Huai dan Pengarah Urusan Golden Dragon Machineries LDA, Danny Loo Teck Lim.
“Ia ditandatangani pada Sidang Kemuncak & Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE'25) di Putrajaya pada Januari lalu.
“Hadir menyaksikan majlis MoU ialah Komander Jeneral Polis Timor-Leste, Henrique da Costa M.Si,” ujar kenyataan tersebut.
Semasa penyertaan pada AISSE'25, SWS Inntech turut mempamerkan teknologi sistem penyimpanan senjata pintar ini yang mana ia turut menarik perhatian beberapa agensi keselamatan dalam dan luar negara.


SWS menggunakan teknologi pintar teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Internet Pelbagai Benda (loT) dan biometrik untuk menyimpan dan pengurusan senjata api.
Menggunakan pengurusan pintar sistem ini, semua urusan membabitkan mengambil, merekod dan memulangkan senjata api diurus dan dipantau secara sistematik. - DagangNews.com








