KUALA LUMPUR 18 Mei – MBSB Research mengekalkan saranan Jual ke atas Swift Haulage Berhad dan menyemak turun harga sasaran kepada RM0.35 daripada RM0.37 yang mencerminkan potensi penurunan sekitar 20% hingga 24% daripada harga semasa.
Harga sasaran baharu itu berdasarkan semakan semula unjuran pendapatan serta penurunan gandaan penilaian kepada 10 kali keuntungan (price-to-earnings multiple), berbanding 11 kali sebelum ini, selaras dengan purata sektor logistik lima tahun.
Pada masa ini, saham Swift Haulage diniagakan sekitar RM0.46, menjadikannya berada di atas nilai wajar yang diunjurkan oleh firma tersebut.
MBSB Research berkata walaupun persekitaran operasi dijangka kekal stabil, prospek pertumbuhan jangka pendek syarikat masih bercampur disebabkan tekanan volum dalam beberapa segmen utama.
“Dalam segmen haulage kontena, volum mencatatkan penurunan sebanyak -5.9% tahun ke tahun (yoy) berikutan penguatkuasaan lebih ketat peraturan “no overweight” oleh kerajaan, yang menyebabkan banyak pergerakan kembali ke model satu perjalanan sahaja.
“Jumlah kontena di pelabuhan utama turut susut -1.0% kepada 1.69 juta TEU pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026), dipengaruhi bilangan hari bekerja yang lebih rendah.
“Namun, pelarasan kadar tambang sejak Julai 2025 telah meningkatkan hasil purata setiap kontena sebanyak +11.1% YoY yang membantu menyokong margin keuntungan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu menjangkakan pemulihan volum berpotensi berlaku pada separuh kedua tahun kewangan 2026 sekiranya pelanggan utama dalam segmen pengeluar kaca solar menyambung semula operasi pada Julai, dengan sumbangan sekitar 1,800 kontena sebulan.
“Dalam segmen pengangkutan darat, jumlah perjalanan menurun -7.4% YoY disebabkan bilangan hari bekerja yang lebih rendah serta kesan musim perayaan pada suku pertama.
“Walaupun begitu, hasil purata setiap perjalanan meningkat +14.6% YoY kepada RM1,041 walaupun jumlah perjalanan keseluruhan menurun,” katanya.
Segmen penghantaran kargo kekal kukuh disokong oleh aktiviti kargo projek bernilai tinggi dalam sektor tenaga, infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui. Hasil purata setiap kerja meningkat +9.5% YoY kepada RM844, walaupun jumlah kerja menurun -2.8%.
Bagi segmen pergudangan, kapasiti menurun -17.0% YoY atau 285,000 kaki persegi selepas penamatan operasi logistik automotif serta penutupan beberapa ruang sewaan.
Selain itu, syarikat turut kehilangan pendapatan sewaan kira-kira RM0.5 juta sebulan selepas penamatan penyewa di atas tanah seluas 39 ekar pada hujung tahun kewangan 2025.

Kadar penggunaan purata turut menurun 11 mata peratusan disebabkan keluarnya pelanggan barangan pengguna pantas (FMCG) dari gudang Johor pada suku keempat tahun kewangan 2025.
Namun begitu, kadar penggunaan dijangka meningkat semula pada separuh kedua tahun kewangan 2026, dengan gudang Johor dijangka mencapai 90% selepas kemasukan pelanggan baharu pada Jun.
Gudang di Pulau Pinang mencatat kadar penggunaan 78%, dan dijangka meningkat kepada 90% selepas kemasukan pelanggan baharu sejak April.
Dalam operasi depot kontena kapasiti menurun -23.8% tahun ke tahun atau 7,500 TEU selepas operasi di tanah sewaan disatukan secara dalaman ke atas tanah yang telah diubah suai selepas penamatan perniagaan logistik automotif.
Walaupun kapasiti lebih kecil, kadar penggunaan meningkat kepada 92% berbanding 72% tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan kecekapan operasi serta penjimatan kos sewaan.
Dari segi pengembangan, gudang lama Swift Auto Logistics telah ditukar guna kepada fasiliti seluas 172,000 kaki persegi, dengan sasaran penggunaan 80% menjelang akhir Jun.
Selain itu, gudang baharu di Gebeng, Pahang berkeluasan 100,000 kaki persegi dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026), dengan 40% kapasiti telah pun ditempah oleh pelanggan.
Pusat logistik bersepadu Shah Alam International Logistics Hub (SAILH) mencatat kadar penggunaan sekitar 30%, dengan sasaran meningkat sekurang-kurangnya 70% menjelang akhir tahun apabila operasi bermula pada 3QFY2026.
MBSB Research turut menaikkan unjuran pendapatan FY2026 hingga FY2028 sebanyak 2.5% hingga 2.9%, dipacu oleh jangkaan peningkatan kadar penggunaan gudang, pengembangan kapasiti baharu serta penambahbaikan operasi depot kontena.
Bagaimanapun, peningkatan ini masih diimbangi oleh kelemahan volum dalam segmen haulage dan pengangkutan darat.
Dari segi kewangan, syarikat dijangka mencatat hasil sebanyak RM777.3 juta pada FY2026 dengan keuntungan bersih teras (PATAMI) sebanyak RM29.0 juta, bersamaan pendapatan sesaham (EPS) 3.3 sen.
Bagi tahun berikutnya, hasil dijangka meningkat kepada RM799.5 juta pada FY2027 dan RM828.0 juta pada FY2028, dengan pertumbuhan berperingkat. Dividen sesaham (dividend per share, DPS) dijangka berada pada 1.6 sen bagi FY2026, meningkat kepada 1.9 sen pada FY2028, dengan hasil dividen sekitar 3.5% hingga 4.2%.
Secara keseluruhan, MBSB Research mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap kaunter ini memandangkan tekanan volum, ketidaktentuan permintaan serta cabaran kos operasi masih membayangi prospek jangka pendek. - DagangNews.com








