KUALA LUMPUR 19 Feb — Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pelantikan Siti Safinah Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, untuk menggantikan Abdul Razib Dawood yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Januari lalu.
Pelantikan tersebut menurut suruhanjaya itu dinamakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebelum kemudian diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perkara ini disahkan melalui satu pemberitahuan rasmi yang dikeluarkan sendiri oleh kementerian berkenaan di Putrajaya hari ini," katanya menerusi kenyataan.
Siti Safinah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Teknologi Maklumat (Sistem Perisian) dari Universiti Multimedia serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Strategik) dari Universiti Teknologi Malaysia, dan Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard.
Sejak Februari 2021, beliau telah berkhidmat sebagai CEO MyPOWER Corporation, sebuah agensi tujuan khas di bawah kementerian tersebut untuk menyelaraskan usaha pelaksanaan inisiatif pembaharuan industri bekalan tenaga di Malaysia.
Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa Siti Safinah juga pernah berkhidmat dalam bahagian tadbir urus, risiko dan pematuhan dana pelaburan strategik Khazanah Nasional, dan merupakan ahli kepada Lembaga Pengurus Aset VCAP.
“Pada awal kerjayanya, beliau pernah bekerja di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Kumpulan Telekom Malaysia,” tambah kenyataan berkenaan. - DagangNews.com








