KUALA LUMPUR 7 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berdepan masalah kewangan selepas mencatatkan defisit operasi bersih terbesar sebanyak RM54.64 juta dalam sekurang-kurangnya sedekad pada tahun 2023.
Antara faktor yang menyumbang kepada isu tersebut adalah peningkatan kos kakitangan, kekurangan dana, serta pelaksanaan levi terhadap peserta pasaran untuk menampung kos pengoperasian dan memastikan kestabilan pasaran modal.
Pendapatan SC pada tahun 2023 berjumlah RM209.91 juta, yang diperoleh daripada levi, yuran, caj, yuran lesen, serta yuran pendaftaran.
Namun, perbelanjaan keseluruhan badan berkenaan meningkat kepada RM266.36 juta berbanding RM237.8 juta pada tahun 2022.
Kos kakitangan menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan perbelanjaan itu, dengan jumlah RM209.66 juta, meningkat 9.6% berbanding tahun sebelumnya.
Kos tersebut merangkumi gaji, bonus, faedah perubatan, latihan, waktu kerja lebih masa, serta faedah pasca pekerjaan.
Walaupun gaji kakitangan SC telah disemak semula pada 2022, ia masih tidak mampu untuk menandingi gaji yang dibayar oleh institusi kewangan dan majikan lain dalam kategori yang sama.
Oleh itu, kadar penurunan staf di SC dijangka meningkat sehingga 12% pada tahun 2024 dan 9% hingga 10% sepanjang sembilan tahun yang lalu.
Bagi menangani isu kekurangan dana, SC sedang mengadakan perbincangan dengan peserta pasaran, termasuk mereka yang terlibat dalam bon, pendapatan broker, yuran penjaminan, komisen kejayaan, serta yuran daripada pengedaran produk amanah saham.
Perbincangan itu bertujuan untuk mengenakan levi yang boleh mencecah sehingga 1.5% daripada pendapatan peserta pasaran.
Menurut Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, struktur yuran yang sedia ada, kekal tidak berubah sejak penubuhan SC pada 1993 dan kini ia perlu ditingkatkan untuk memastikan kestabilan kewangannya.
"Sebahagian besar pendapatan SC adalah berubah-ubah, tetapi kos operasi tetap, menyebabkan keperluan mendesak untuk mencari sumber pendapatan tambahan.
"Levi daripada pendapatan juga berbeza-beza, ia bukan peratusan tetap untuk semua perkara. Dalam rundingan, kami bermula dengan satu angka dan cuba mencari persetujuan di tengah-tengah. Jika pendapatan anda berbilion, saya bercakap tentang levi beberapa juta," katanya seperti laporan The Edge.
Jelas beliau, pihaknya juga telah melakukan ujian tekanan yang mendapati, kebanyakan entiti mencatat kurang 1% pendapatan dengan keuntungan berbeza.
Selain itu, beliau mendedahkan, terdapat unsur manipulasi dalam operasi contohnya dalam sebuah kumpulan perbankan.
"Mereka mungkin hanya mengawasi peniaga saham, tetapi terdapat juga pelbagai amalan pemindahan harga (transfer pricing) yang berlaku.
"Oleh itu, jumlah peniaga saham yang terlibat mungkin tidak menggambarkan dengan tepat apa yang sebenarnya dilakukan oleh entiti tersebut," jelasnya.
Dalam usaha untuk mengekalkan pasaran yang adil dan teratur, SC berharap peserta pasaran yang mendapat manfaat dari sistem itu dapat menyumbang kepada kos pengoperasian.
Sebagai contoh, SC menjangkakan pendapatan daripada levi ekuiti pada 2024 akan meningkat kepada RM200 juta, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat, termasuk penguatkuasaan produk ekuiti, bon, serta produk Islam dan terstruktur.
Sementara itu, SC terus berunding dengan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, bagi mendapatkan sokongan dalam pelaksanaan levi tersebut demi memastikan keberkesanan fungsi pengawasan dan pengawalseliaan. - DagangNews.com








