KUALA LUMPUR 19 Feb - Sunzen Group Bhd merancang untuk menjual perniagaan kesihatan haiwan yang mengalami kerugian kepada penyedia produk farmaseutikal dan veterinar, Pure Nutritional Products Sdn Bhd, dengan nilai RM17.3 juta.
Menurut Sunzen, pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli saham dengan Pure Nutritional untuk menjual 100% kepentingan ekuitinya dalam anak syarikat milik penuhnya, Sunzen Corp Sdn Bhd (SCSB) dan Sunzen Lifesciences Sdn Bhd (SLSB).
"Hasil daripada jualan tersebut akan digunakan untuk modal kerja kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan harian dan aktiviti perniagaan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Pure Nutritional terlibat dalam mengimport, mengedar, membuat dan menjual produk farmaseutikal dan veterinar seperti ubat-ubatan, ubat paten, serta produk berkaitan lain.
SCSB terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan bioteknologi, pembuatan, pengimportan, pengeksportan, serta jualan ubat veterinar, produk farmaseutikal, produk kimia, peralatan kesihatan haiwan, perkhidmatan makmal dan produk minyak sawit.
SLSB pula terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan bioteknologi serta pengkomersialan produk antibakteria dalam makanan dan makanan tambahan untuk kesihatan haiwan. - DagangNews.com








