Sunway rancang terbit sukuk wakalah sehingga RM2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway rancang terbit sukuk wakalah sehingga RM2 bilion

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisSunway Bhd merancang untuk mengukuhkan fleksibiliti kewangan kumpulan menerusi cadangan penerbitan sukuk wakalah sehingga RM2 bilion oleh unit milik penuhnya, Sunway Cochrane Sdn Bhd, bagi menyokong keperluan modal kerja serta pelan pengembangan perniagaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway memaklumkan Sunway Cochrane telah mengemukakan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi penubuhan program sukuk tersebut, yang turut merangkumi sukuk hijau.

 

Program sukuk berkenaan ditetapkan dengan tempoh kekal (perpetual), manakala setiap terbitan individu akan mempunyai tempoh melebihi satu tahun, yang akan ditentukan sebelum penerbitan dibuat.

 

Hasil terbitan sukuk itu akan digunakan bagi tujuan patuh syariah, antaranya untuk membiayai atau membayar balik pelaburan, pengambilalihan, perbelanjaan modal serta modal kerja.

 

Selain itu, dana tersebut turut disalurkan untuk tujuan korporat am, pembiayaan semula pinjaman sedia ada dan pendahuluan antara syarikat dalam kumpulan Sunway melalui struktur patuh syariah seperti mudharabah atau wakalah.

 

Bagi pelaksanaan program berjumlah RM2 bilion itu, OCBC Al-Amin Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama, penasihat penstrukturan kemampanan serta penasihat syariah.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, setakat akhir September 2025, Sunway mencatat tunai dan baki bank sebanyak RM6.52 bilion. 

 

Pada masa sama, hutang jangka pendek kumpulan berjumlah RM6.34 bilion, manakala pinjaman jangka panjang mencecah RM6.08 bilion, mencerminkan skala komitmen pembiayaan yang ketara seiring rancangan pengembangan berterusan.

 

Dalam dagangan Isnin, saham Sunway yang turut merancang untuk menyenaraikan cabang perkhidmatannya dalam sektor kesihatan awal tahun hadapan ditutup tujuh sen atau 1.28% lebih rendah pada RM5.38, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan pada RM33.98 bilion. - DagangNews.com