KUALA LUMPUR 27 Feb - Cabang hartanah Kumpulan Sunway, Sunway Property, menyasarkan jualan sebanyak RM3.6 bilion bagi tahun 2025 selepas mencatat pencapaian kukuh pada 2024 dengan jualan RM3 bilion, melebihi sasaran awal RM2.6 bilion.
Pemaju hartanah itu berkata, dengan pelancaran projek baharu bernilai RM2.7 bilion dan jualan belum dibilkan sebanyak RM3.3 bilion setakat 31 Disember 2024, syarikat bersedia untuk terus berkembang sebagai Pembangun Komuniti Utama di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Pengarah Urusan baharu yang dilantik pada bulan lalu, Chung Soo Kiong berkata, Sunway Property dijangka mempercepat inovasi, pembangunan mampan, peralihan digital, serta pengambilalihan strategik bagi mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran tempatan dan global.
"Di bawah kepimpinan baharu ini, kami ingin memberikan nilai yang bermakna kepada masyarakat dan pemegang kepentingan seiring dengan visi kami, 'With You For Generations'.
"Dengan memperkukuh kehadiran di Singapura dan China serta memasuki pasaran baharu, kami meneguhkan komitmen perubahan bandar, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memastikan kelangsungan masa depan di bandar-bandar yang kami terokai," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, Sunway Property merancang pelancaran projek baharu bernilai RM4 bilion serta lebih RM2 bilion dalam hartanah pelaburan yang dijadualkan siap.
Di Johor, Sunway Property mempercepat pelaburan di Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) dengan memanfaatkan pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang dijangka beroperasi pada 2026.
Sehingga kini, lebih 30 peratus daripada perbandaran terbesar Sunway di Johor telah dibangunkan.
SCIP meliputi kawasan hampir 809.37 hektar dan terletak secara strategik hanya lima kilometer dari Laluan Kedua Johor-Singapura, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM30 bilion.
Direka sebagai bandar pintar yang mampan, SCIP terus berkembang sebagai hab komuniti yang dinamik.
Antara pembangunan utama ialah hab logistik Zon Perdagangan Bebas bernilai RM8 bilion, Equalbase Sunway 103°, yang bakal menampilkan gudang bersepadu.
Fasa pertama dijangka siap menjelang akhir 2025, dengan penyewaan penuh dijangkakan setelah pembangunan selesai.
Projek berkenaan akan menjadi pemacu pertumbuhan utama dalam dekad akan datang serta mewujudkan sekurang-kurangnya 13,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor.
Di luar perbandaran SCIP, Sunway Property turut mengembangkan kehadirannya di kawasan strategik Johor Bahru.
Projek pembangunan bertingkat baharu di Sunway Lenang Heights dan unit SOHO di kawasan Yahya Awal, pusat bandar Johor Bahru, akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap gaya hidup bandar bersepadu. - DagangNews.com








