Sunway Property beli tanah 40.3 hektar di Kuang berharga RM65.1 juta, luaskan pembangunan taman industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Property beli tanah 40.3 hektar di Kuang berharga RM65.1 juta, luaskan pembangunan taman industri

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – Cabang hartanah Kumpulan Sunway, Sunway Property, membeli tanah pegangan bebas seluas 40.3 hektar di Kuang, Selangor berharga RM65.1 juta.

 

Terletak bersebelahan tapak industri seluas 99.14 hektar milik Sunway yang dikenal pasti pada Ogos 2023 untuk pembangunan taman industri terurus, sekali gus mengukuhkan pelan kumpulan dalam membina ekosistem industri di koridor Rawang.

 

Tanah tersebut diperoleh menerusi perjanjian jual beli (SPA) oleh Sunway Rawang City Sdn Bhd (SRCSB), anak syarikat usaha sama Sunway Property, daripada Teik Sing Realty Sdn Bhd.

 

Bertempat di Mukim Rawang, tapak itu mempunyai akses strategik menerusi Lebuhraya LATAR serta berhampiran hab industri utama seperti Kawasan Perindustrian Kuang dan Taman Perindustrian Rawang. 

 

Lokasinya hanya 35 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur dan kurang sejam dari Pelabuhan Klang serta KLIA.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata, pengambilalihan itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh tawaran industri syarikat.

 

"Lokasi ini sejajar dengan matlamat pembangunan jangka panjang kami dan membolehkan kami menawarkan ekosistem industri yang lebih menyeluruh dan kukuh di Lembah Klang.

 

"Perluasan ini sesuai untuk merebut peluang pasaran hasil permintaan pengilang, pemain e-dagang, dan penyedia logistik, malahan mencerminkan komitmen kami dalam membentuk komuniti masa depan berteraskan inovasi dan kelestarian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tanah gabungan baharu itu dijangka meningkatkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek sekurang-kurangnya RM700 juta, dengan perancangan induk diperluas bagi merangkumi kilang, gudang, dan komponen komersial yang disokong infrastruktur pintar dan reka bentuk mampan.

 

Sunway Property kini memiliki simpanan tanah keseluruhan seluas 902.4 hektar dengan potensi GDV melebihi RM68.9 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk pertumbuhan pelbagai segmen berasaskan inovasi, kelestarian, dan komuniti bersepadu.- DagangNews.com