Sunway gagal ambil alih IJM, hanya terima sokongan 33.43% pemegang saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway gagal ambil alih IJM, hanya terima sokongan 33.43% pemegang saham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 April – Cadangan pengambilalihan Sunway Bhd terhadap IJM Corp Bhd bernilai RM11 bilion gagal dimuktamadkan selepas tidak memenuhi syarat utama untuk memperoleh sokongan pemegang saham melebihi 50% dalam syarikat itu.

 

Sehingga jam 5 petang, 6 April 2026 iaitu tarikh penutupan tawaran, Sunway hanya berjaya memperoleh sokongan penerimaan sebanyak 33.43%, jauh daripada paras minimum yang ditetapkan.

 

Tawaran yang diumumkan pada pertengahan Januari itu mencadangkan gabungan bayaran tunai sebanyak 10% atau 31.5 sen sesaham IJM dan 90% dalam bentuk saham baharu Sunway.

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan terma tersebut, pemegang saham IJM akan menerima kira-kira 0.501 saham Sunway bernilai RM5.65 sesaham bagi setiap saham IJM yang dipegang.

 

Cadangan itu dibuat pada premium 28% berbanding harga pasaran IJM ketika pengumuman dan akan melibatkan penerbitan kira-kira 1.76 bilion saham baharu Sunway serta komponen tunai sekitar RM1.1 bilion.

 

Bagaimanapun, Sunway sebelum ini menegaskan bahawa tawaran tersebut adalah “terbaik dan terakhir” tanpa sebarang semakan semula, sekali gus mengehadkan fleksibiliti untuk menarik lebih banyak sokongan pemegang saham.

 

Susulan perkembangan itu, sentimen pasaran menunjukkan pelabur mula melupuskan pegangan yang sebelum ini didorong oleh spekulasi pengambilalihan.

 

Saham IJM ditutup meningkat lima sen kepada RM2.36 pada Isnin, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM8.61 bilion.

 

Kaunter itu sebelum ini melonjak ke paras RM2.97 sejurus pengumuman dibuat, namun telah kembali ke julat dagangan asal antara RM2.20 hingga RM2.40.

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, saham Sunway susut empat sen atau 0.8% kepada RM4.99, dengan permodalan pasaran berkurang kepada RM33.96 bilion.

 

Saham tersebut sebelum ini diniagakan sekitar RM5.60 sebelum pengumuman cadangan pengambilalihan, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap risiko pelaksanaan yang akhirnya tidak menjadi kenyataan. - DagangNews.com