Sunway Destiny Sdn Bhd ditutup secara sukarela, tidak jejas kedudukan kewangan Kumpulan Sunway | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Destiny Sdn Bhd ditutup secara sukarela, tidak jejas kedudukan kewangan Kumpulan Sunway

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 SeptSunway Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunway City Sdn Bhd memulakan proses penggulungan secara sukarela ke atas Sunway Destiny Sdn Bhd (SDSB).


Kumpulan tersebut berkata, ia merupakan sebuah entiti yang kini tidak lagi beroperasi dan sudah lama berstatus sebagai tidak pernah aktif walaupun syarikat diperbadankan pada 18 Ogos 1997.


Tambahan pula SDSB jelasnya, yang kepentingan dimiliki secara sepenuhnya oleh Sunway City Sdn Bhd, bukan merupakan anak syarikat utama dalam Kumpulan Sunway sendiri dalam beberapa tahun lalu.


"Langkah ini juga perlu diambil berikutan SDSB sudah pun menghentikan operasi perniagaan dan kini tidak aktif," menurut kenyataan rasmi Sunway dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


SDSB kata Sunway, memiliki modal diterbit serta dibayar sebanyak RM3,310,005.69, yang merangkumi sejumlah 3,210,002 saham biasa dan kira-kira 99,998 saham keutamaan boleh tebus tidak kumulatif.


Sebelum ini tambahnya, SDSB pernah terlibat dalam perniagaan pengurusan dan penyewaan hartanah, namun kemudian didapati tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti komersial yang menjana hasil.


Dalam proses penggulungan ini jelasnya, Wong Cham Mew yang beralamat Menara Amcorp, Petaling Jaya, Selangor, dilantik sebagai pelikuidasi bagi melaksanakan proses pembubaran syarikat berkenaan.


"Sunway turut menegaskan proses penggulungan SDSB tidak akan memberi sebarang kesan material kepada pendapatan sesaham (EPS) mahupun aset bersih sesaham (NAPS) kumpulan," katanya lagi.


Langkah rasionalisasi seperti ini memang lazim dilaksanakan oleh syarikat korporat sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula dan penambahbaikan tadbir urus korporat. - DagangNews.com