KUALA LUMPUR 5 Mac — Sunway Construction Group Berhad memperoleh kontrak berjumlah RM1.5 bilion untuk melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit Sistem Transit Rapid (RTS TOD) di Bukit Chagar, Johor dalam urus niaga dengan pihak berkaitan.
Ia diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB), oleh Sunway Integrated Properties Sdn Bhd (SIPSB), subsidiari milik penuh tidak langsung Sunway Berhad, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.
Projek ini dibahagikan kepada dua bahagian dengan fasa pertama melibatkan pembinaan kemudahan 'park-and-ride' bertingkat untuk projek RTS TOD, sambungan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), jalan lingkaran perimeter, dan tembok penahan.
“Susulan surat penganugerahan itu telah ditandatangani, notis untuk penerusan (NTP) yang pertama telah diterima untuk Bahagian A, dengan kerja-kerja boleh bermula pada 5 Mac 2025 dan dijangka siap menjelang November 2026," jelas Sunway Construction.
Sementara penyiapan keseluruhan untuk Bahagian A pula dijadualkan pada November 2027 manakala fasa kedua kontrak itu, yang tertakluk kepada NTP berikutnya, akan melibatkan pembinaan pusat beli-belah, podium, dan hartanah sebelah atas di stesen Bukit Chagar.
Kerja-kerja itu jelas syarikat berkenaan bagaimanapun masih tertakluk kepada risiko pembinaan normal iaitu faktor turun naik harga bahan binaan, namun dengan pengalaman lalu dan kepakaran SCSB dalam projek pembinaan, risiko tersebut boleh dikurangkan.
Kontrak itu dianggap sebagai transaksi dengan pihak berkaitan kerana Evan Cheah Yean Shin ialah pemegang saham utama dan Pengarah Sunway Construction, juga pengarah ganti kepada bapanya, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah Fook Ling dalam lembaga pengarah Sunway.
Beliau turut merupakan pengarah dalam beberapa anak syarikat dan pemegang saham utama Sunway. Pengumuman itu susulan pemeteraian perjanjian induk melibatkan Sunway pada Februari lalu untuk pembangunan bercampur bernilai lebih RM2.6 bilion di Johor.
Projek berorientasikan transit, bersebelahan stesen Bukit Chagar; di bawah RTS Johor Bahru–Singapura, mengandungi empat menara kediaman dan komersial, hab kesihatan, institusi pendidikan serta komponen hospitaliti dengan penginapan dan ruang pertemuan.
Berdasarkan kepada perjanjian dengan Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), iaitu selaku pemilik projek RTS milik kerajaan itu yang akan menerima sebanyak RM450.8 juta dalam nilai hak pembangunan, namun kadarnya masih tertakluk kepada pelarasan.
Sunway sebelum ini berkata bahawa pembinaan itu dapat dimulakan pada Mac 2025, dengan fasa pertama kemudahan park-and-ride bertingkat yang terdiri daripada 850 tempat letak kereta dan 1,015 petak motosikal; dijangka dibuka kepada awam pada 30 November 2026.
Keseluruhan projek itu dijangka siap pada 2036. - DagangNews.com








