Sunsuria berpotensi bangunkan projek hartanah GDV RM8 bilion - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunsuria berpotensi bangunkan projek hartanah GDV RM8 bilion - PublicInvest

Gambar hiasan dari laman web rasmi Sunsuria
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - Sunsuria Bhd berada pada landasan betul dalam mengukuhkan kewangannya dan berpotensi membangunkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion pada 10 tahun akan datang, kata PublicInvest.  

 

Pendapatan pemaju hartanah pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) itu mencecah RM158.38 juta, mewakili peningkatan 4% suku-ke-suku (QoQ).  

 

Prestasi kewangan pada suku tersebut didorong oleh keuntungan progresif lebih tinggi daripada projek pembangunan yang sedang dijalankan, iaitu Menara A, Talisa dan Verdura di Taman Bukit Bangsar, The Chapter di Sunsuria City dan Sunsuria Kejora Business Park di Puncak Alam.  

 

Dalam pada itu, bahagian pendidikan juga telah menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi 1QFY25 berikutan pembukaan Concord College International School pada September 2024.  

 

Mengenai bank tanah Sunsuria, pemaju hartanah itu telah menyiapkan Sunsuria City @ Salak Tinggi yang mempunyai gabungan GDV RM1.4 bilion.  

 

Ini termasuk projek pembangunan kediaman yang sedang berjalan, termasuk Menara A, D dan E Taman Bukit Bangsar, Seni Residences dan pangsapuri perkhidmatan pelbagai kemudahan Tangerine Suites di perbandaran Sunsuria City dan Forum pembangunan bercampur bersepadu 2 di Setia Alam.

 

Tambahan pula, PublicInvest berkata, Sunsuria telah membeli 20% kepentingan dalam usaha sama untuk tanah seluas 3.91 hektar yang dianggarkan menghasilkan kira-kira GDV RM2.68 bilion (Fasa 1).  

 

“Tanah itu terletak di Kampung Sungai Baru iaitu berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur.

 

"Kami difahamkan Fasa 1, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 3.22 hektar tanah, akan dibangunkan menjadi pembangunan bersepadu bertingkat tinggi dan bercampur, yang akan merangkumi kedua-dua komponen kediaman dan komersil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.  

 

Oleh itu, PublicInvest mengekalkan saranan "beli" dengan harga saranan (TP) tidak berubah pada 55 sen sesaham.  - DagangNews.com