Sun Pharmaceutical dari India saman Duopharma berhubung pertikaian jenama ubat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sun Pharmaceutical dari India saman Duopharma berhubung pertikaian jenama ubat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - Duopharma Biotech Bhd disaman oleh sebuah syarikat farmaseutikal multinasional India, Sun Pharmaceutical Industries Ltd, berhubung pertikaian jenama ubat.

 

Saman tersebut difailkan syarikat India berkenaan terhadap syarikat milik penuh Duopharma, Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mendakwa ia menggunakan jenama berdaftar yang serupa dengan tanda dagangan miliknya, yang boleh menyebabkan kekeliruan orang awam.

 

Menurut Duopharma, kedua-dua jenama tersebut digunakan pada ubat dalam bentuk tablet untuk menurunkan tahap kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

 

"Sun Pharmaceutical menggunakan jenama yang berdaftar iaitu Storvas untuk ubat tersebut, manakala Duopharma Manufacturing menggunakan jenama yang juga berdaftar iaitu Crystorvas untuk ubatnya," jelas pemfailan syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

 

Duopharma berkata, Sun Pharmaceutical mendakwa Duopharma Manufacturing secara haram mengguna pakai jenama serupa yang boleh mengelirukan orang awam.

 

"Dalam saman tersebut, plaintif iaitu Sun Pharmaceutical menuntut perintah injunksi untuk menghalang Duopharma daripada menggunakan jenama Crystorvas kerana orang ramai boleh menganggap kedua-dua produk mempunyai kaitan," jelasnya.

 

Tambah Duopharma, syarikat multinasional India itu juga menuntut perintah penarikan balik ubat Crystorvas daripada pasaran, dilupuskan, serta perintah untuk membatalkan tanda dagangan atau jenama Crystorvas.

 

Tiada jumlah ganti rugi yang dinyatakan dalam pemfailan, tetapi Sun Pharmaceutical menuntut satu siasatan ganti rugi yang ditanggung akibat tindakan melanggar jenama yang didakwa oleh Duopharma Manufacturing.

 

Duopharma berkata, jika Sun Pharmaceutical menang, kesan kewangan dan operasi akan melibatkan ganti rugi, kerugian dan injunksi.

 

"Produk lain yang dihasilkan atau dijual oleh Duopharma Manufacturing yang tidak menggunakan jenama Crystorvas, tidak akan terjejas oleh tuntutan Sun Pharmaceutical.

 

"Defendan sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam mereka. Syarikat dan defendan yakin, pendaftaran dan penggunaan jenama berdaftar defendan adalah sah dan oleh itu, defendan akan menentang tuntutan plaintif untuk melindungi hak mereka," tambahnya. - DagangNews.com