KUALA LUMPUR 27 Feb - Pengeluar bahan kimia minyak dan gas (O&G), SumiSaujana Group Berhad, menandatangani perjanjian taja jamin dengan RHB Investment Bank Berhad bersempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia sebelum Jun 2025.
Ditubuhkan pada tahun 2010, SumiSaujana merupakan nama yang dipercayai dalam rumusan, pembuatan dan pembekalan bahan kimia khusus O&G yang memfokuskan kepada bahan kimia cecair penggerudian, serta bahan kimia pengeluaran dan penapisan untuk segmen huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri sama.
Dengan kehadiran yang kukuh di Malaysia dan jejak yang semakin berkembang di seluruh rantau Asia Pasifik dan Asia Barat, syarikat itu menawarkan rumusan berdaya cipta dan berkualiti tinggi yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri kimia khusus O&G.
Pelaksanaan IPO berkenaan akan melibatkan terbitan awam sebanyak 310.0 juta saham biasa baharu (Saham Terbitan) dan tawaran untuk jualan sehingga 90.0 juta saham sedia ada (Saham Tawaran), yang secara menyeluruh mewakili 27.71% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 72.5 juta Saham Terbitan, diagihkan sama rata antara pelabur awam Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui undian, manakala sebanyak 24.4 juta lagi diperuntukkan untuk pengarah pekerja dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan SumiSaujana.
Kira-kira 122.6 juta Saham Terbitan pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada institusi yang dikenal pasti dan pelabur terpilih.
Melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, masing-masing sebanyak 90.5 juta dan 90.0 juta Saham Terbitan dan Saham Tawaran diperuntukkan.
RHB Investment Bank akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal.
Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Group Berhad, Norazlam Norbi berkata, perkongsian dengan RHB Investment Bank merupakan langkah penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi peneraju dalam industri kimia khusus global.
"Hasil IPO akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti pembuatan, mengembangkan keupayaan R&D dan meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa.
"Dengan kepakaran RHB Investment Bank, kami yakin dengan penyenaraian kami di Pasaran ACE," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan SumiSaujana Group Berhad dalam perjalanan IPO mereka.
"Perkongsian ini menggariskan komitmen RHB Investment Bank untuk menyokong perusahaan dinamik dalam mencapai cita-cita pertumbuhan mereka.
"Pengalaman luas kami dalam taja jamin IPO membolehkan kami menyediakan pandangan strategik kepada SumiSaujana," ujarnya.
SumiSaujana berhasrat menggunakan hasil IPO untuk membiayai pemerolehan kilang sedia ada di Puncak Alam, gudang baharu dan pejabat korporat, serta memasang sistem PV Solar di kilang sama.
Sebahagian daripada dana itu juga akan diperuntukkan untuk penubuhan makmal R&D baharu serta pembelian dan pemasangan kemudahan IT untuk pejabat korporat baharunya, manakala hasil selebihnya akan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian. - DagangNews.com








