KUALA LUMPUR 26 Mei - Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib terus mendapat mandat kukuh untuk menerajui Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) selepas dipilih semula sebagai pengarah pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-51 syarikat itu semalam.
Beliau yang memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan sejak 2021 menerima sokongan hampir sebulat suara daripada pemegang saham apabila meraih 99.21% undian memihak kepada pelantikan semulanya.
"Keputusan itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepimpinan Sulaiman dalam memacu transformasi Cahya Mata merangkumi aspek operasi perniagaan, pengukuhan tadbir urus korporat serta agenda kemampanan dan ESG," kata syarikat itu dalam kenyataan.
Dalam AGM tersebut, semua 10 resolusi yang dibentangkan turut diluluskan pemegang saham, sekali gus memperlihatkan sokongan berterusan terhadap hala tuju strategik kumpulan.
Di bawah kepimpinan Sulaiman, Cahya Mata dilihat terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara konglomerat utama berpangkalan di Sarawak dengan fokus terhadap pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Sokongan besar yang diterima beliau juga memberi isyarat positif kepada pasaran terhadap kestabilan kepimpinan syarikat ketika Cahya Mata meneruskan agenda transformasi perniagaan dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar. - DagangNews.com








