KUALA LUMPUR 9 Mac – MBSB Research mengekalkan saranan Neutral terhadap saham IOI Properties Group Berhad bagi tahun kewangan 2026, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.17 sesaham berdasarkan diskaun 38% kepada nilai aset bersih syarikat.
Menurut firma penyelidikan itu, prestasi kewangan IOI Properties dijangka menunjukkan pertumbuhan sederhana dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan hasil dijangka meningkat daripada RM3.57 bilion pada FY26 kepada RM3.96 bilion pada FY28.
“Keuntungan bersih teras syarikat pula dijangka naik daripada RM576 juta pada FY26 kepada RM666 juta pada FY28, manakala pendapatan sesaham dijangka meningkat daripada 10.40 sen kepada 12.01 sen sepanjang tempoh itu.
“IOI Properties juga dijangka mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 8 sen sesaham setahun, dengan hasil dividen sekitar 2.4%,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Strategi melupuskan tanah menjadi komponen utama rancangan pertumbuhan syarikat. IOI Properties telah menjual 136 ekar tanah di IOI Industrial Park @ Banting, Selangor kepada Bridge Data Centres bernilai RM740.7 juta pada Januari 2026.
Selain itu, dua lot tanah pegangan bebas di Kulai, Johor seluas 31.82 ekar pula dijual kepada AME Elite Consortium bernilai RM101.2 juta, dengan pelupusan dijangka selesai pada separuh pertama 2027.
MBSB Research menilai strategi jual tanah ini sebagai langkah positif kerana ia membuka nilai aset sedia ada, menambah aliran tunai dan menyokong aktiviti pembangunan masa depan syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: AME Elite beli tanah IOI Properties di Senai bernilai RM101 juta untuk bangunkan taman perindustrian
Hutang bersih IOI Properties yang tinggi pada 0.9 kali dijangka turun sedikit kepada 0.89 kali selepas jualan tanah di Johor dan 0.87 kali jika digabungkan dengan jualan tanah di Banting, membantu menstabilkan struktur kewangan syarikat.
Harga jualan tanah di Kulai RM73 sekaki persegi, selaras dengan harga Eco World Development Group di kawasan sama yang dijual kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada RM75 sekaki persegi, jauh lebih tinggi daripada harga RM12 sekaki persegi yang dijual IOI Properties pada Januari 2024.
MBSB Research menegaskan bahawa pelupusan tanah ini dijangka menyumbang positif kepada keuntungan FY27, dengan anggaran peningkatan kira-kira 7% berdasarkan margin kasar 60%, sekaligus memberi impak positif kepada aliran tunai dan fleksibiliti kewangan.
Walaupun kewangan dijangka bertambah baik, saham IOI Properties kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku 0.72 kali, melebihi purata sejarah sembilan tahun sebanyak 0.66 kali, menunjukkan penilaian agak tinggi pada harga semasa.
Firma tersebut menyatakan bahawa saham ini tidak menawarkan potensi kenaikan harga yang besar dalam jangka pendek, namun kestabilan dividen dan strategi jualan tanah memberi perlindungan kepada pelabur.
Penyenaraian dana pelaburan hartanah (REIT) IOI Properties pula dijangka menjadi pemangkin jangka pendek, memberi peluang tambahan kepada syarikat untuk menstruktur semula aset dan meningkatkan aliran tunai.
“Kami melihat IOI Properties sebagai syarikat stabil dengan strategi monetisasi tanah yang bijak, menjanjikan keuntungan dan aliran tunai yang baik, tetapi sahamnya tidak terlalu menarik untuk pembelian agresif, justeru saranan Neutral dikekalkan,” katanya. - DagangNews.com








