AME Elite beli tanah IOI Properties di Senai bernilai RM101 juta untuk bangunkan taman perindustrian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME Elite beli tanah IOI Properties di Senai bernilai RM101 juta untuk bangunkan taman perindustrian

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 MacAME Elite Consortium Berhad mengambil alih dua bidang tanah berstatus pegangan bebas di Mukim Senai, Daerah Kulai, Johor dengan nilai keseluruhan RM101.18 juta.


Kumpulan tersebut berkata, perjanjian pembelian berkenaan dimeterai hari ini yang melibatkan dua anak syarikat milik penuhnya dengan subsidiari IOI Properties Group Berhad, Nice Frontier Sdn Bhd.


Tanah diperoleh itu berkeluasan 12.87 hektar, dengan Twin Sunrich Sdn Bhd membeli Plot 1 pada harga RM41.32 juta, manakala Golden Symphony Sdn Bhd membeli Plot 2 pada harga RM59.87 juta.


"Lokasinya strategik dalam koridor Iskandar Malaysia, kira-kira 850 meter dari Taman Perindustrian Sinergy dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai," maklum AME Elite kepada Bursa Malaysia.


Kumpulan itu bercadang membangunkan tanah tersebut menjadi taman kluster perindustrian, dan pelaburan ini merupakan langkah strategik meningkatkan simpanan tanah sedia ada di lokasi yang kompetitif.


Kos pengambilalihan tanah katanya, dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat, dan setakat 31 Disember 2025, kumpulan itu mempunyai kedudukan tunai kukuh berjumlah kira-kira RM888.31 juta.


Walaupun tidak memberi kesan segera kepada hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dalam jangka masa sederhana.


"Lembaga Pengarah AME Elite menyatakan bahawa pengambilalihan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat memandangkan prospek pembangunan industri yang menggalakkan di Johor," jelasnya.


Bagaimanapun, segala urus niaga pembelian tanah berkenaan tambah kumpulan tersebut, dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama tahun depan. - DagangNews.com