KUALA LUMPUR 12 Feb — Simpanan minyak sawit mentah (MSM) mencatat penurunan pada Januari 2026 selepas 10 bulan meningkat, didorong kelemahan bermusim pengeluaran dan pertambahan eksport.
Menurut TA Securities, data berkenaan turut disokong laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran MSM susut 13.8% bulan ke bulan (MoM) kepada 1.58 juta tan pada Januari.
Firma itu berkata, ia menandakan permulaan tempoh pengeluaran rendah selepas kemuncak akhir tahun, namun, pengeluaran masih meningkat kukuh 27.2% tahun ke tahun (YoY), disokong kesan asas rendah.
"Susulan pengeluaran yang merosot, paras inventori jatuh 7.7% MoM kepada 2.82 juta tan, penurunan pertama sejak 10 bulan lalu, tetapi stok yang sedia ada masih tinggi," katanya dalam nota kajian.
Jelas TA Securities, ia merekodkan kira-kira 78.1% lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan lebihan bekalan MSM yang bergerak secara berterusan sejak 2025.
Eksport pula tambahnya, meningkat ketara sebanyak 11.4% MoM kepada 1.48 juta tan, atau naik 25.8% YoY, melebihi jangkaan pasaran berikutan momentum penghantaran yang lebih baik pada awal tahun.
Penggunaan domestik pula kata firma penyelidikan tersebut, turut didapati meningkat kira-kira 14.5% MoM kepada 361,000 tan, manakala import komoditi itu susut 2.9% MoM kepada 32,000 tan.
"Data terbaharu MPOB ini memberi isyarat sedikit positif kepada harga MSM dalam jangka pendek, disokong kekangan bekalan bermusim dan prestasi eksport yang lebih baik," jelas TA Securities.
Bagaimanapun ujarnya, potensi kenaikan harga dijangka adalah terhad memandangkan paras stok masih tinggi dan pengeluaran diramal pulih secara berperingkat-peringkat mulai suku kedua tahun ini.
Dari segi hasil buah tandan segar (BTS), semua wilayah utama mencatat penyederhanaan hasil, dengan di Semenanjung Malaysia merosot 15.1% MoM, Sabah turun 8.6% MoM manakala Sarawak susut 15.9% MoM.
Keadaan ini tambah TA Securities, sejajar dengan normalisasi selepas musim puncak, manakala permintaan pasaran global kekal mencabar apabila China dilihat mula mengurangkan pembelian minyak sawit.
"Ia berikutan peralihan kepada minyak soya yang lebih murah, dengan bekalan soya Brazil dijangka mencatat rekod berpotensi pula mengehadkan kenaikan harga minyak sayuran global," kata firma itu.
India jelasnya, kekal sebagai pasaran penentu, dengan pemulihan import minyak sawit dijangka berlaku pada 2026 selepas mencatatkan paras rendah pada 2025, sekali gus memberi sedikit sokongan permintaan.
Secara keseluruhan, TA Securities menjangka harga MSM kekal mendatar dalam julat RM3,900 hingga RM4,200 setiap tan pada suku pertama 2026, kecuali berlaku lonjakan eksport atau gangguan operasi.
Firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan, dengan andaian yang harga purata MSM pada 2026 berlegar-legar sekitar RM4,000 bagi satu tan.
"Kami mengekalkan syor 'beli' ke atas Kuala Lumpur Kepong, TSH Resources dan United Malacca, 'pegang' Kim Loong Resources, serta 'jual' IOI Corp dan Sime Darby Plantation," katanya. - DagangNews.com








