Stesen Gas Serdang kembali beroperasi, bekalan gas di Lembah Klang semakin stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stesen Gas Serdang kembali beroperasi, bekalan gas di Lembah Klang semakin stabil

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 April - Gas Malaysia Bhd memaklumkan, Stesen City Gate Serdang telah kembali beroperasi, sekali gus membantu menstabilkan semula bekalan gas di kawasan Lembah Klang selepas insiden letupan di Putra Heights, pada 1 April lalu.

 

Syarikat di bawah Kumpulan MMC itu berkata, maklumat mengenai pemulihan operasi stesen itu diterima daripada pembekalnya, Petronas Gas Bhd.

 

"Perkembangan terbaharu ini mengurangkan jumlah pelanggan terjejas kepada 275 buah kediaman dan premis berbanding 299 sebelum ini," kata Gas Malaysia dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Stesen City Gate Serdang merupakan antara pusat bekalan gas utama di Lembah Klang yang memainkan peranan penting dalam pengagihan gas asli ke kawasan sekitar.

 

Keadaan itu dijangka mengukuhkan keselamatan bekalan gas ke kawasan seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bangi, Balakong dan Seri Kembangan, terutamanya untuk pelanggan industri.

 

Setakat ini, hanya empat lagi stesen City Gate yang masih belum beroperasi.

 

Gangguan bekalan gas juga dijangka berterusan sehingga 20 April 2025, berdasarkan notis daripada Petronas Gas.

 

Bekalan gas di Lembah Klang terjejas susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya awal bulan ini. - DagangNews.com