KUALA LUMPUR 12 Feb – Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak selama tiga tahun daripada Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan bawah air.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Steel Hawk berkata kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan bawah air tertentu secara panggilan (call-out) dan berkuat kuasa dari 9 Disember 2025 hingga 8 Disember 2028.
“Walaupun kontrak itu tidak mempunyai nilai tetap, pengurusan menjangkakan ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Steel Hawk sepanjang tempoh kontrak serta mengukuhkan lagi hubungan kerja sedia ada dengan syarikat dalam ekosistem PETRONAS,” katanya dalam makluman tersebut.
Steel Hawk ketika ini mempunyai 21 kontrak yang akan memastikan kumpulan itu terus aktif dari segi operasi bagi tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus memberikan keterlihatan terhadap beban kerja dan menyokong kesinambungan perniagaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, kontrak berkenaan mengukuhkan lagi buku tempahan kumpulan dan menyediakan keterlihatan jelas terhadap saluran pelaksanaan projek untuk beberapa tahun akan datang.
“Dengan pelbagai kontrak sedia ada, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan projek-projek yang sedang berjalan.
“Steel Hawk turut memperluaskan perniagaan ke sektor berkaitan seperti utiliti, infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan disokong oleh keupayaan kejuruteraan, pengurusan projek dan pelaksanaan sedia ada yang boleh diguna pakai merentas sektor, sekali gus meletakkan kumpulan pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang di luar teras perniagaan minyak dan gas.
Steel Hawk kekal optimis terhadap prospek kumpulan, disokong oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan, pemeriksaan dan sokongan dalam industri minyak dan gas, di samping usaha berterusan untuk mempelbagaikan tawaran perkhidmatan melangkaui segmen tradisional minyak dan gas.
Untuk rekod, Steel Hawk Berhad dan anak-anak syarikatnya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sokongan darat dan luar pesisir untuk industri minyak dan gas, dengan operasi berpangkalan di Kemaman, Terengganu serta Miri, Sarawak.
Kumpulan turut menyediakan rumusan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, selain perkhidmatan pemasangan, penyelenggaraan serta pembekalan peralatan medan minyak. - DagangNews.com








