KUALA LUMPUR 12 Feb - Pembekal perkhidmatan minyak dan gas Steel Hawk Bhd meraih kontrak daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi membekalkan tenaga kerja di Gudang Produk Pepejal (SPW) Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa, kumpulan itu berkata, syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) menerima surat anugerah (LoA) daripada anak milik syarikat Petronas, PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd.
Katanya, SHESB memperoleh kontrak tersebut pada 29 November 2024.
Bagaimanapun, ia hanya mendapat persetujuan daripada PRPC pada 12 Feb, untuk mengeluarkan pengumuman kepada Bursa.
Kontrak tiga tahun itu akan bermula pada 1 Februari 2025 dan tamat pada 31 Januari 2028 dan tidak mempunyai nilai tetap.
"Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi akhir tahun kewangan 31 Disember 2025.
"Kami juga menjangkakan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan material ke atas aset bersih Steel Hawk dan anak-anak syarikatnya," katanya. - DagangNews.com








