SSF optimis terhadap 2025 berikutan pengembangan strategik dan peningkatan kuasa beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SSF optimis terhadap 2025 berikutan pengembangan strategik dan peningkatan kuasa beli

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Dis - SSF Home Group Bhd optimis terhadap prospek 2025 susulan strategi pengembangan kumpulan serta peningkatan kuasa beli pengguna, hasil daripada pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2025 yang merangkumi program pemindahan tunai bernilai RM13 bilion.

 

Pengarah Eksekutifnya, Lok Kok Khong berkata, pihaknya mengambil langkah-langkah tertentu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang sukar, sambil bersiap sedia untuk memanfaatkan peluang yang timbul apabila ekonomi pulih dan permintaan pengguna meningkat.

 

"Kumpulan optimis terhadap pemulihan sektor runcit yang disokong oleh peningkatan kuasa beli pengguna yang dipacu oleh inisiatif di bawah Bajet 2025. 

 

"Ini termasuk pemindahan tunai RM13 bilion melalui program Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, serta kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 mulai Februari 2025, yang memberi manfaat kepada segmen besar penduduk," kata SSF dalam satu kenyataan akhbar, baru-baru ini.

 

Syarikat pakar dalam perabot, hiasan rumah dan produk gaya hidup itu, menawarkan pembelian secara fizikal di lebih 40 cawangan di seluruh negara dan dalam talian.

 

Selaras dengan pengembangan strategiknya, kumpulan berjaya membuka cawangan ke-43 di Danga Utama, Johor Bahru, pada Ogos 2024, diikuti dengan kemasukannya ke Malaysia Timur dengan pembukaan cawangan ke-44 di Kota Kinabalu, Sabah pada Oktober 2024.

 

Kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan rekod pendapatan sebanyak RM30.090 juta bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2024 bagi tahun kewangan 2024/25, yang mencatatkan penurunan sebanyak 3.9% berbanding tahun sebelumnya, pada RM31.323 juta. 

 

Penurunan tersebut disebabkan oleh pengurangan jualan akibat inflasi yang mempengaruhi sentimen pengguna. (Tahun Kewangan 2024/25: Tahun kewangan berakhir 30 April 2025).

 

Bagaimanapun, kerugian sebelum kredit/perbelanjaan cukai kumpulan semasa suku yang dikaji, berkurangan dengan ketara kepada RM2.471 juta pada suku kedua FY2024/25 berbanding RM3.626 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya, disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih rendah akibat jualan yang rendah dan caj susut nilai yang lebih tinggi bagi aset Right-of-Use. 

 

Kerugian yang lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan sebelumnya (FY2023/24) disebabkan oleh perbelanjaan bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang berjumlah lebih kurang RM3.2 juta. - DagangNews.com