SPB Development terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPB Development terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Syarikat pembangunan hartanah, SPB Development Bhd menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Sempena penyenaraiannya, kumpulan itu akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 278.4 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 191.1 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 87.3 juta saham biasa sedia ada.

 

Daripada 278.4 juta saham biasa itu, sejumlah 231.39 juta akan disediakan kepada pelabur institusi dan terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Baki 47 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jacky Yap berkata, ia menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat kumpulan selain mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemaju hartanah kediaman.

 

Beliau berkata, perolehan daripada IPO membolehkan pihakya meningkatkan simpanan tanah dan/atau akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan untuk projek pada masa hadapan, modal kerja untuk projek pembangunan mserta pembelian acuan aluminium untuk projek pembangunan.

 

"Kami percaya IPO ini adalah tepat pada masanya kerana kami berharap dapat melaksanakan strategi khusus dalam membangunkan projek kediaman bertanah yang berdekatan dengan kawasan perindustrian pertumbuhan tinggi yang menawarkan peluang pekerjaan, peningkatan kemewahan dan pertumbuhan penduduk.

 

"Kami percaya strategi kami akan dapat dicapai dengan mengambil kira reka bentuk berskala dan sistem binaan kami yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Antara projek kumpulan yang telah siap ialah Taman Kasa Heights, Taman Bukit Cheng dan Taman Nuri di Melaka serta Taman La Casa Lunas di Kedah.

 

Sehingga kini, kumpulan itu mempunyai kira-kira 120.3 hektar tanah yang telah diluluskan untuk pembangunan terletak di Melaka, Johor, Selangor dan Kedah manakala 268.8 hektar  lagi dipegang sebagai bank tanah untuk pembangunan masa depan dengan lokasi di Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah .

 

Kumpulan sedang dalam proses untuk menyelesaikan pengambilalihan tujuh lot tanah di Plentong, Johor Bahru berkeluasan kira-kira 75.8 hektar dan juga telah memeterai perjanjian usaha sama untuk membangunkan tanah bersebelahan dengan yang dinyatakan di atas berkeluasan kira-kira 76.5 hektar.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, pemilik buku dan penaja jamin untuk IPO. - DagangNews.com