Southern Steel terima RM29.3 juta penyelesaian susulan pertikaian undang-undang dengan Danieli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Steel terima RM29.3 juta penyelesaian susulan pertikaian undang-undang dengan Danieli

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Feb - Anak syarikat sepenuhnya Southern Steel Bhd (SSB), Southern HRC Sdn Bhd (SHRC) menerima kira-kira RM29.3 juta sebagai penyelesaian dalam pertikaian undang-undangnya dengan pengeluar peralatan industri dari Itali, Danieli & C Officine Meccaniche SpA dan anak-anak syarikatnya di Malaysia serta Thailand.

 

SSB berkata, pembayaran itu adalah 90% daripada harga peralatan sebanyak RM32.54 juta untuk pembelian peralatan oleh Danieli Italy daripada SHRC.

 

"Pada tahun 2017, SSB melantik Danieli untuk memasang penggelek panas di kilang SHRC di Seberang Perai, Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan pengeluarannya. 

 

"Bagaimanapun, projek tersebut mengalami kelewatan dan cabaran operasi, yang mengakibatkan pertikaian mengenai prestasi, syarat pembayaran dan kewajiban kontrak," kata SSB dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

SSB telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Danieli, mendakwa peralatan berkenaan tidak memenuhi piawaian yang dipersetujui. 

 

Pertikaian itu berlanjutan sepanjang tahun, membawa kepada timbang tara dan rundingan sebelum penyelesaian dicapai.

 

SSB adalah pengeluar utama besi dan keluli di Malaysia, menghasilkan billet, rod dawai dan batang keluli untuk industri pembinaan dan pembuatan. - DagangNews.com