KUALA LUMPUR 2 April - Southern Score Builders Bhd (SSBB) dijangka mencatat keuntungan sebanyak RM28.4 juta daripada dua kontrak berkaitan pusat data bernilai RM189 juta yang dimenangi kumpulan itu baru-baru ini, menurut Phillip Capital Research.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu berdasarkan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 15%, bagi sepanjang tempoh kontrak.
“Perolehan berulang daripada pelanggan sedia ada ini mencerminkan rekod pelaksanaan kukuh kumpulan serta tahap keyakinan pelanggan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk meraih lebih banyak projek pada masa hadapan," kata firma penyelidikan itu dalam nota kajian.
Dengan kemenangan kontrak terbaharu itu jumlah kontrak yang dimenangi SSBB setakat tahun ini mencecah kira-kira RM425 juta, bersamaan 39% daripada andaian pengisian semula kontrak tahun kewangan 2026 (FY26) Phillip Capital sebanyak RM1.1 bilion.
Perkembangan itu meningkatkan buku tempahan tertunggak SSBB kepada RM1.6 bilion, dengan projek pusat data menyumbang 27% daripada jumlah keseluruhan.
Skop kerja dua kontrak berkenaan meliputi pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan, selain penyelenggaraan serta jaminan.
Kontrak baharu itu bermula pada Mac 2026 dan dijadualkan siap menjelang November 2026, manakala projek sedia ada yang dianugerahkan pada Ogos 2024 dijangka siap pada Oktober 2026.
Secara keseluruhan, Phillip Capital menilai prospek pengisian semula kontrak kekal positif, disokong oleh buku tender bernilai RM1.4 bilion yang pelbagai, merangkumi projek pusat data (24%), kediaman (38%) dan bangunan berkaitan kerajaan (38%).
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan syarikat memandangkan kontrak baharu ini telah diambil kira dalam andaian pengisian semula sebelum ini.
Phillip Capital turut mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM0.75, berdasarkan penilaian 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) ke atas unjuran pendapatan sesaham FY27.
“Kami terus menyukai SSBB berikutan pengembangan strategik dalam sektor pusat data yang berkembang pesat, selain keterlihatan buku pesanan yang kukuh daripada pelanggan utama sedia ada,” jelasnya.
Sementara itu, Apex Securities turut mengekalkan saranan “beli” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM0.81.
Berdasarkan andaian margin keuntungan selepas cukai sebanyak 18%, firma itu menganggarkan kontrak berkenaan akan menyumbang sekitar RM17.4 juta, atau 23% daripada pendapatan FY26, sepanjang tempoh FY26 hingga FY27. - DagangNews.com








