KUALA LUMPUR 4 Jun — Southern Score Builders Berhad berpeluang cerah meraih dua tender utama bernilai kira-kira RM1 bilion yang kini sudah berada di peringkat akhir penilaian, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif berkenaan jika direalisasikan dijangka berupaya dalam memperkukuhkan lagi buku tempahannya yang telah mencecah RM1.53 bilion setakat ini.
Tambahnya, kedua-dua tender tersebut melibatkan projek bangunan kerajaan dan pembangunan fasiliti pembuatan farmaseutikal, dengan keputusan pemenang bidaan dijangka diumumkan sekitar Jun 2026.
"Kejayaan memperoleh kontrak ini bukan sahaja akan meningkatkan keterlihatan pendapatan Southern Score, malah mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan yang kompetitif," kata TA Securities.
Jelas firma berkenaan lagi, setakat 31 Mac 2026, kumpulan tersebut sudah mempunyai buku tempahan yang belum dibilkan berjumlah RM1.53 bilion, iaitu bersamaan kira-kira 6.9 kali ganda hasil FY25.
Daripada jumlah itu, RM1.1 bilion disumbangkan oleh segmen pembinaan, RM387.8 juta menerusi anak syarikat mekanikal dan elektrikal (M&E) iaitu SJEE, manakala RM45.1 juta daripada Nova Pharma.
TA Securities turut menegaskan yang momentum pertumbuhan Southern Score terus dipacu oleh sektor pusat data (DC), yang ketika ini sudah menjadi penyumbang utama kontrak baharu melalui SJEE.
"Sepanjang FY26 setakat ini, kumpulan itu memperoleh kontrak baharu bernilai RM471.3 juta, dengan kira-kira 96.8% daripadanya terdiri daripada projek M&E yang berkaitan pembangunan DC," katanya.

Menurut pengurusan, kebanyakan pelanggan DC sedia ada masih berada pada fasa awal projek, dengan beberapa tender berpotensi berkembang sehingga tujuh fasa, dan membuka ruang kontrak susulan.
Berdasarkan kos pembinaan M&E sekitar RM4 juta bagi setiap megawatt (MW) dan kapasiti purata DC sebanyak 80MW, TA Securities menganggarkan setiap fasa boleh menjana kerja bernilai RM320 juta.
"Jika masih terdapat lima fasa pembangunan yang belum dilaksanakan Southern Score, peluang kontrak berpotensi mencecah RM1.6 bilion bagi setiap pelanggannya," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Selain prospek kontrak yang kukuh, tekanan kos bahan binaan kekal terkawal hasil pengurusan kos yang berhemah serta keupayaan kumpulan menyesuaikan harga kontrak dengan kenaikan kos input.
Justeru TA Securities melihat positif cadangan bagi meningkatkan pegangan dalam SJEE, memandangkan anak syarikat itu menyumbang 40% daripada jumlah hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan FY26.
Dalam perkembangan lain, Southern Score dijangka mengemukakan semula permohonan pemindahan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan sasaran penyenaraian selesai sebelum penghujung tahun ini.
"Setelah diambil kira pengisian kontrak kukuh daripada anggaran, kami menaikkan unjuran tender baharu SJEE kepada RM500 juta bagi FY26 berbanding hanya RM250 juta sebelum ini," jelasnya.
Di samping itu, TA Securities turut menyemak naik unjuran keuntungan FY26 hingga FY28 antara 2.7% dan 6.1%, selain menaikkan harga sasaran (TP) saham kepada 82 sen daripada 78 sen sebelum ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Southern Score berikutan buku tempahan yang teguh, prospek pertumbuhan sektor DC dan peningkatan keterlihatan pendapatan. - DagangNews.com








