Solarvest kukuhkan kedudukan selepas sertai Program LSS5, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest kukuhkan kedudukan selepas sertai Program LSS5, kata penganalisis

Gambar/FB Solarvest
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Mac - Penganalisis kekal positif terhadap prospek Solarvest Holdings Bhd selepas ia disenaraikan dalam Program Solar Skala Besar 5 (LSS5) yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor tenaga solar.

 

Solarvest memiliki 60% saham dalam entiti khas, Nextree Synergy, yang telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membangunkan dan mengendalikan loji solar terapung fotovoltaik berskala besar 60MWac di Kuala Langat, Selangor, di bawah Pakej 4 (kategori 10MW hingga 500MW) dalam program LSS5.

 

PPA dengan TNB itu merangkumi tempoh 21 tahun, dengan operasi komersial dijadualkan bermula pada 8 Oktober 2027.

 

RHB Research berkata, aset solar baharu LSS5 berkenaan bersama kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) LSS5 yang baru diperoleh, akan membantu mempelbagaikan aliran pendapatan Solarvest dengan pendapatan berulang yang dianggarkan sekitar 20% daripada keuntungan menjelang tahun kewangan 2027 (FY27) dan memberi rangsangan kepada pertumbuhannya dalam dua tahun akan datang.

 

"Dengan anggaran kadar pulangan dalaman sekitar 9% dan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM150 juta, projek ini dijangka menghasilkan keuntungan bersih purata sekitar RM4.2 juta setahun berdasarkan pegangan 60% Solarvest," jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Selain itu, katanya, pengembangan portfolio asetnya selaras dengan strategi kumpulan untuk mencapai 30% pendapatan berulang.

 

"Projek ini akan mula beroperasi secara komersial pada tahun 2028 dan ia dijangka memberi sumbangan penuh kepada pendapatan syarikat pada tahun 2029. 

 

"Selain itu, kos modal untuk projek tersebut dijangka lebih rendah kerana harga panel solar yang kini lebih murah," jelas RHB Research.

 

Solarvest baru-baru ini memperoleh kontrak EPCC LSS5 pertamanya. 

 

RHB Research pada masa sama berkata, pihak pengurusan menjangka kemenangan kontrak lebih lanjut dalam masa terdekat di bawah LSS5, menyokong penambahan buku pesanan dan pertumbuhan.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest sambil mengekalkan unjuran pendapatan yang tidak berubah, kerana sumbangan daripada projek berkenaan dijangka hanya akan masuk bermula FY28.

 

"Namun, kami menetapkan harga sasaran baharu berdasarkan kaedah jumlah bahagian (sum-of-parts) sebanyak RM2.07 sesaham dengan mengambil kira aset LSS5 pada pegangan 60% dalam penilaian firma," ujarnya.

 

Dengan rekod kukuh dalam memperoleh PPA di bawah program solar berskala besar dan memenangi kontrak EPCC, RHB Research berkata, kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi rumusan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengukuhkan potensi pertumbuhannya dalam jangka panjang.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata, kerja EPCC Solarvest untuk ladang solar 500MW di bawah LSS5 daripada TNB akan meningkatkan buku pesanan kumpulan kepada RM1.3 bilion, memberikan ketelusan pendapatan untuk dua tahun akan datang.

 

"Kami tidak membuat perubahan kepada ramalan kami, kerana kemenangan kontrak ini merupakan sebahagian daripada anggaran kemenangan kontrak RM1 bilion dalam FY26," katanya, sambil menambah bahawa tahun ini, Solarvest telah memperoleh projek baharu bernilai RM947 juta.

 

Tambahnya, berdasarkan margin EPCC terdahulu, kontrak tersebut dijangka menyumbang keuntungan kasar antara RM40 juta hingga RM60 juta, dengan anggaran margin keuntungan kasar sebanyak 10% hingga 15%.

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek Solarvest dalam mengembangkan buku pesanan dan asas asetnya dalam menghadapi permintaan yang kukuh untuk tenaga boleh diperbaharui dalam jangka masa sederhana hingga panjang," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Solarvest dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM2.14 sesaham.

 

BIMB Research turut mengulangi saranan 'beli' terhadap saham tersebut dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM2.23 sesaham. - DagangNews.com