KUALA LUMPUR 28 Mei – Malaysia bakal menjadi antara negara terawal di dunia yang melaksanakan sistem penjagaan kesihatan awam primer digital bersepadu sepenuhnya menjelang tahun 2027, menerusi pelaksanaan Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (FHCI) yang sedang dipercepatkan di seluruh negara.
Inisiatif ini diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan digital negara.
Pelaksanaan FHCI berteraskan prinsip “Di mana ada jalan, di situ ada internet”, yang menjadi asas kepada peluasan ketersambungan digital nasional bagi menyokong perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan bersepadu.
Sebelum ini, sasaran asal transformasi digital kesihatan Malaysia adalah pada tahun 2045 namun dipercepatkan kepada 2027 yang akan meletakkan negara sebagai antara yang terawal melaksanakan sistem tersebut secara menyeluruh.
FHCI turut memperkenalkan konsep “satu individu, satu rekod”, yang membolehkan maklumat kesihatan pesakit dikongsi secara selamat, tepat dan masa nyata antara fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Menurut KKM, pendekatan ini akan membantu mempercepat keputusan klinikal, mengurangkan masa menunggu serta memastikan kesinambungan rawatan yang lebih lancar antara klinik dan hospital kerajaan.
"Inisiatif ini dibangunkan berasaskan infrastruktur ketersambungan nasional termasuk Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang memperluas capaian internet ke seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan.
"Dengan sokongan ini, sistem kesihatan digital dapat diperluas secara menyeluruh merangkumi 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan di seluruh negara.
"Antara komponen utama pelaksanaan ialah Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) serta ekosistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR)," katanya dalam satu kenyataan.
Sistem EMR membolehkan rekod pesakit disimpan secara digital dan diakses dengan lebih pantas oleh petugas kesihatan yang membantu mempercepatkan proses rawatan serta mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual.
Setakat ini, sebanyak 468 fasiliti penjagaan kesihatan primer telah dilengkapi sistem EMR, iaitu peningkatan empat kali ganda dalam tempoh kurang tiga tahun pelaksanaan.
Pelaksanaan EMR di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah menjadikan kedua-dua kawasan tersebut sebagai negeri dan wilayah pertama di Malaysia mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya.
Menurut KKM, pencapaian ini adalah hasil penilaian menyeluruh melibatkan kesiapsiagaan infrastruktur, tahap ketersambungan serta program pembangunan kapasiti kepada petugas kesihatan di lapangan.
Hasil awal pelaksanaan sistem ini turut menunjukkan impak positif apabila 81 peratus pesakit kini menerima rawatan dalam tempoh satu jam, mengurangkan masa menunggu secara ketara di fasiliti kesihatan awam.
Pada masa sama, sistem ini turut menyokong lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari, membuktikan keupayaan platform digital dalam mengendalikan jumlah pengguna berskala besar secara efisien.
Pelaksanaan FHCI turut disokong oleh penubuhan jawatankuasa pemandu bersama bagi menyelaras tadbir urus, pelaksanaan serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
Kerajaan menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting ke arah memperkukuh sistem kesihatan negara yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan dalam jangka panjang.- DagangNews.com








