Sin-Kung Logistics mulakan perkhidmatan kargo udara pada Q3 2025 susulan pengambilalihan Prima Air | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sin-Kung Logistics mulakan perkhidmatan kargo udara pada Q3 2025 susulan pengambilalihan Prima Air

Gambar/SinKung Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mac - Sin-Kung Logistics Bhd, dijangka memulakan perkhidmatan kargo udaranya pada suku ketiga 2025, susulan pengambilalihan 100% kepentingan dalam Prima Air Sdn Bhd bernilai RM20.7 juta.

 

Sin-Kung Logistics merancang untuk menyewa tiga pesawat menjelang akhir 2025, dengan unit pertama dijangka dihantar pada bulan Mei atau Jun 2025 bagi memulakan perniagaan kargo udara mereka pada bulan September depan.

 

Prima Air terlibat dalam tiga segmen iaitu kargo udara, perkhidmatan sewaan jet peribadi serta penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) pesawat.

 

Syarikat itu mempunyai permit perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara yang membolehkannya menjalankan operasi pengangkutan udara komersial tidak terjadual.

 

Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, dengan pengambilalihan tersebut, syarikat kini dapat menawarkan perkhidmatan pengangkutan kargo udara dan menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan untuk penghantaran kargo antara mereka.

 

"Fasa pertumbuhan seterusnya untuk Sin-Kung Logistics adalah perkhidmatan kargo udara. 

 

"Dengan penambahan perkhidmatan kargo udara ini, syarikat dapat menawarkan rumusan rantaian bekalan penuh untuk penghantar barang tempatan dan antarabangsa, dari perkhidmatan trak hingga perkhidmatan logistik udara merentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ong menambah, pertambahan portfolio itu melengkapkan perkhidmatan logistik sedia ada syarikat kepada pelanggan mereka.

 

Perkhidmatan kargo udara tersebut akan bermula di Semenanjung Malaysia, merangkumi pelbagai industri termasuk aeroangkasa, produk farmaseutikal, semikonduktor, minyak dan gas, serta barangan yang mudah rosak. - DagangNews.com